SAHABAT YANG SUKAR DICARI GANTI

Tanggal 16 Julai 2019 adalah tarikh yang mendukacitakan apabila saya kehilangan seorang sahabat iaitu Shaiful Anuar Che Rus atau Ben, yang telah pulang ke rahmatullah. Saya kehilangan seorang sahabat yang sentiasa setia pada saat susah dan senang. Beliau pernah menjadi pesakit diabetes saya ketika saya bertugas di Hospital Sultanah Bahiyah dahulu, dan walaupun selepas saya berhenti, sebelum setiap rawatan perubatan, beliau tetap akan berbincang dengan saya untuk mendengar pandangan saya sebagai seorang kawan dan doktor kerana beliau percaya saya akan mencadangkan jalan terbaik buat beliau.

 Semangat beliau untuk terus hidup wajar dicontohi. Beliau gigih menjalani palliative chemotherapy di Hospital Selayang yang telah memberikan beliau tempoh 2 tahun yang berkualiti sehingga masih mampu aktif dalam politik Umno sehingga nafas yang terakhir. Kali terakhir saya bersembang dengan beliau adalah pada seminggu sebelum apabila beliau bertanya pandangan saya berkenaan beliau ditawarkan untuk liver transplant, dan perlu memberi persetujuan kepada doktor pakar pada 18hb Julai 2019.

Saat yang paling saya ingati adalah ketika selepas saya tewas PRU13 lalu, dan tiada pekerjaan, beliau membantu saya memperoleh sumber pendapatan dengan mengajak saya menyertai roadshow HR Marketing yang mana saya diberi slot menyampaikan ceramah kesihatan. 

Beliau adalah seorang sahabat yang sukar dicari ganti. Semoga Allah swt ampunkan segala dosanya, dicucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Al-fatihah.

Gambar ini saya bersama Allahyarham ketika roadshow 'Kenali Usus Anda' anjuran HR Marketing pada 2015

Comments