KISAH ANAK TUNGGAL DAN DADAH

Pada 20 Ogos 2019, saya bersama pegawai-pegawai AADK Kota Setar dan Jabatan Pendidikan telah mengadakan lawatan ke sebuah rumah yang disyaki ada kanak-kanak yang terlibat dengan dadah. Ketika sampai di rumah itu di sebuah perkampungan nelayan di Kuala Kedah, Atan (bukan nama sebenar) sedang makan nasi bersama 3 orang rakannya. Apabila pegawai AADK memperkenalkan diri, 2 rakan Atan yang berumur 12 dan 14 tahun telah melarikan diri termasuk seorang lagi Mat (bukan nama sebenar) berumur 25 tahun yang merupakan OKP AADK yang telah melanggar syarat.

Pihak AADK telah melakukan saringan air kencing dan mendapati Atan positif dadah jenis syabu. Atan berumur 13 tahun dan merupakan pelajar tercicir dari sekolah agama swasta akibat kesempitan hidup. Ibu bapanya telah berpisah dan dia anak tunggal yang tinggal bersama ibu dan neneknya.

Atan memaklumkan terdapat 4 orang lagi rakannya yang mengambil dadah dan masih bersekolah (tetapi sering ponteng) yang berumur 12-15 tahun. Mereka bekerja dengan Mat (jiran mereka) untuk menangkap ketam, dan upah mereka dibayar dalam bentuk syabu. Pihak AADK sedang mengesan Mat dan begitu juga pihak Jabatan Pendidikan yang sedang mengenalpasti pelajar-pelajar lain yang terlibat untuk dimasukkan dalam program pemulihan. Atan akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat memandangkan dia juga merupakan OKU yang mempunyai masalah pembelajaran. Semoga semua kanak-kanak berpotensi ini dapat kita selamatkan dengan bantuan semua pihak dan agensi.

Kisah ini saya kongsi sebagai satu pengajaran kepada masyarakat dan keluarga. Ibu bapa jika mengesyaki anak-anak mereka terlibat dadah harus mendapatkan bantuan segera daripada pihak berkuasa. Begitu juga guru-guru, setiap pelajar yang ponteng dan tercicir perlu dikesan dan diberi bantuan.  Kanak-kanak yang mempunyai profil sebeginilah yang membakar sebuah maahad tahfiz di Kuala Lumpur tahun lepas. Inilah contoh bagaimana dadah menjadi hasil akhir kesan daripada masalah kepincangan keluarga, status sosio-ekonomi, keciciran sekolah dan persekitaran yang tidak sihat.

Comments