HIMPUNAN PENYATUAN UMMAH - MUAFAKAT NASIONAL

Pada 14 Muharam 1441H bersamaan 14 September 2019, saya berasa bertuah kerana dapat hadir bersama puluhan ribu umat Melayu Islam dari seluruh negara bagi menyaksikan termeterainya Piagam Muafakat Nasional antara dua parti terbesar umat Melayu di Malaysia iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Parti Islam Se Malaysia (PAS) dalam satu peristiwa yang amat bersejarah dalam arena politik Malaysia. Majlis ini diadakan dalam satu program yang dinamakan Himpunan Penyatuan Ummah yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), telah mempertemukan ribuan penyokong kedua-dua parti ini yang telah bersengketa sekian lama sejak sebelum kemerdekaan, walaupun bergabung sekejap selepas Tragedi 13 Mei, iaitu ketika PRU tahun 1974.

Tidak pernah terlintas di dalam benak pemikiran ini bahawa saya berpeluang menyaksikan peristiwa penyatuan ummah ini secara langsung dari dalam Dewan Merdeka, PWTC bersama sahabat-sahabat PAS Kawasan Kuala Kedah. Berdasarkan pengalaman peribadi saya, sejak lahir lagi, kita telah dihidangkan satu status quo politik antara dua parti ini yang akan sentiasa berseteru walaupun pada hakikatnya berjuang atas matlamat yang sama, yang hanya berbeza cuma dari aspek teknikal dan kaedah. Saya yakin ini adalah hikmah kekalahan Barisan Nasional dan UMNO pada PRU 14 lepas, yang mana telah dikurniakan oleh Allah swt, satu nikmat perpaduan dan kejayaan mencari titik persamaan dalam perjuangan. Saya juga yakin ini bukan sekadar retorik politik, kerana ia lahir daripada rasa keterancaman orang Melayu Islam di negara ini apabila mereka sebagai warga majoriti di Malaysia telah merasa dipinggirkan dan tunjang-tunjang kenegaraan gagal dipelihara oleh kerajaan yang memerintah pada hari ini. Oleh itu kesepakatan ummah yang berlaku pada hari ini adalah satu gerakan massa untuk memperbetulkan keadaan ini yang bukan sahaja dari segi politik dan ekonomi, malah dari segi hubungan kaum. Realiti orang Melayu dan bumiputera sebagai warga majoriti yang menjadi penstabil hubungan kaum di negara ini tidak boleh dinafikan. Apabila asas kenegaraan dan kontrak sosial diganggu, pasti akan menimbulkan perasaan kurang selesa kaum majoriti yang seterusnya membawa kepada ketidakharmonian dan menjejaskan perpaduan.

Perasaan pada hari ini sangat bercampur baur bagi saya. Bermula pada awal pagi, akibat kesesakan lalulintas, saya terpaksa berjalan jauh untuk memasuki PWTC kerana risau terlepas menyaksikan majlis bersejarah ini. Setiba di pintu masuk PWTC, saya lihat lautan manusia yang berpakaian serba putih yang cintakan perpaduan membanjiri di setiap sudut ruang bangunan yang ada. Saya terpaksa mengambil masa meredah lautan manusia ini untuk memasuki Dewan Merdeka di Tingkat 4, PWTC. Dalam hati, saya berfikir, adakah saya hanya dapat melihat peristiwa ini dari luar dewan sahaja melalui skrin yang disediakan bersama ribuan hadirin yang lain. Pada masa yang sama, saya bersyukur kerana sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian, saya bernasib baik mempunyai pas masuk ke Dewan Merdeka, dan saya menghargai dan mengagumi pejuang-pejuang yang datang dari seluruh pelusuk negara dan sanggup duduk bersila di hadapan skrin demi menyaksikan peristiwa yang bakal mengubah lanskap politik negara. Sebagaimana mereka, saya juga tidak mahu ketinggalan untuk menjadi sebahagian daripada sejarah dan menceritakan kepada anak cucu bahawa saya juga turut sebak menyaksikan satu sejarah baharu terlakar sebagai titik tolak kebangkitan dan penyatuan ummah melalui termeterainya Piagam Muafakat Nasional. Allahukabar.  















                            




Comments