DEKRIMINALISASI DADAH DI MALAYSIA



Mengikut takrifan American Society of Addiction Medicine (ASAM), penagihan adalah satu penyakit perubatan kronik yang boleh dirawat, melibatkan interaksi yang kompleks antara litar otak, genetik, persekitaran dan pengalaman hidup seseorang individu. Kaedah pencegahan dan rawatan adalah pada umumnya sama pendekatannya dengan penyakit kronik lain.

Berdasarkan premis ini, saya sebagai seorang pengamal perubatan percaya penagih dadah harus dirawat sebagai pesakit dan kita perlu berhenti menganggap mereka sebagai penjenayah. Oleh itu, pada dasarnya saya bersetuju dengan usaha dekriminalisasi yang sedang dalam kajian pihak kerajaan.
Walau bagaimanapun, menurut Menteri Kesihatan, dekriminalisasi (menyahjenayah) adalah penghapusan hukuman jenayah ke atas mereka yang memiliki dan menggunakan dadah dalam kuantiti kecil untuk kegunaan peribadi, berbanding mereka yang terlibat dalam pengedaran dadah. Ia juga bukan cubaan untuk melegalisasikan pengedaran dadah. Jika pendekatan ini diambil sepenuhnya dari negara barat seperti Portugal, bermakna kerajaan akan membenarkan pemilikan kuantiti kecil dadah seperti di Portugal yang membenarkan pemilikan kuantiti dadah untuk bekalan 10 hari. Di sinilah perkara yang saya tidak bersetuju kerana kebenaran penggunaan dadah dalam kuantiti kecil akan membuka ruang kepada penagihan yang lebih luas terutamanya di kalangan kanak-kanak dan belia. Dengan membenarkan penggunaan dadah walaupun dalam kuantiti yang kecil, jika dilihat dalam konteks agama Islam juga, ia sangat bertentangan dengan agama dan sangat jelas bahawa hukumnya adalah haram. 

Oleh itu, konsep dekriminalisasi ini amat baik jika kita lebih menumpukan tenaga sepenuhnya terhadap pemulihan dan rawatan penagih dengan menggunakan kaedah pemulihan berdasarkan sains perubatan dan sokongan komuniti. Kita tidak perlu mengikut sepenuhnya model dekriminalisasi dari Barat tetapi sebaliknya kita perlu sesuaikan dengan norma-norma agama dan nilai masyarakat di negara kita.


Comments