ZIARAH KEBAJIKAN RELA DAERAH KOTA SETAR

Program ziarah kebajikan RELA Daerah Kota Setar di sekitar Pokok Sena, Alor Setar dan Kuala Kedah telah diadakan pada 22 Februari 2020. Program ini melawat dan menyampaikan sumbangan kepada anggota RELA atau ahli keluarga mereka yang sakit atau kemalangan. Rombongan diketuai oleh Puan Pegawai RELA Daerah dan disertai lebih kurang 40 orang anggota RELA yang berkonvoi motorsikal. Saya bersama Pasukan Saringan Kesihatan (PASAK) turut bersama memeriksa pesakit yang memerlukan perhatian perubatan.

Antara yang dilawati adalah seorang warga emas berumur 83 tahun yang merupakan veteran RELA dan pernah bertugas sebagai homeguard Kampung Derang, Pokok Sena ketika zaman darurat. Beliau menggunakan pacemaker dan masih bertenaga.

Di Nawa, En Abd Manaf baru menjalani pembedahan amputasi kaki kirinya atas paras lutut (above knee amputation) akibat diabetes. Beliau sedang menanti kaki palsu daripada pihak hospital.

Di Kg Jabi, kami melawat Pak Long Nazri, anggota RELA yang lumpuh dari pusat ke bawah akibat kemalangan jalan raya tahun lepas menyebabkan kecederaan tulang belakang beliau. Pemikiran beliau sangat positif dan kuat semangatnya dalam meneruskan kehidupan.

Di Flat Taman Setia Jaya, kami menziarahi isteri seorang anggota RELA yang mengidap penyakit SLE. Keadaan kesihatan beliau bertambah baik berbanding ketika lawatan saya beberapa tahun lepas.

Di Kg Tengah, Kuala Kedah, En Nazirul seorang anggota RELA yang berdedikasi yang baru pulih dari kemalangan terus gigih bekerja menyara ahli keluarganya yang ramai.

Apa yang paling menyayat hati, di KEDA Kg Bukit, Pokok Sena kami melawat Wan Nur Farisya, seorang kanak-kanak berumur 6 tahun yang mengidap cerebral palsy dan sawan (epilepsy)sejak berumur 5 bulan. Tumbesarannya sudah terbantut dan hanya minum susu melalui ryle's tube (tiub makanan). Menurut datuknya yang merupakan anggota RELA, kanak-kanak ini menangis setiap malam sehingga umurnya 3 tahun. Bergenang air mata kami dan sebak melihat air muka dan keadaannya. Semoga ibu dan ahli keluarganya sentiasa dikurniakan ketabahan.















Comments