KISAH DADAH DAN KEHAMILAN BERISIKO

Pada 10 Jun 2020 jam 10 pagi, saya mewakili MCPF Kota Setar bersama Ketua Pegawai AADK Daerah Kota Setar dan pegawai-pegawai AADK, serta Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Kuala Kedah dan ketua jururawatnya telah melawat seorang wanita yang berumur 27 tahun yang sedang sarat mengandung lebih kurang 8 bulan di Kuala Kedah. Wanita ini merupakan Orang Kena Pengawasan (OKP) AADK enggan menghadiri sebarang temujanji rawatan klinik sepanjang tempoh kehamilannya. Apa yang lebih merisaukan pihak klinik adalah apabila didapati beliau mempunyai simptom psikosis dan seringkali menyatakan bahawa dia akan membuang bayi dalam kandungannya apabila dilahirkan kelak. Tidak dinafikan simptom penyakit mental ini berlaku adalah disebabkan oleh pengaruh dadah.

Maka saya telah mengatur kemasukan wanita ini ke wad psikiatri setelah berbincang dengan pakar psikiatri untuk merawat penagihannya dan demi keselamatan bayi yang akan dilahirkan. Tambahan pula, dia mengaku kali terakhir mengambil syabu adalah pada jam 9 pagi sebentar tadi. Pihak AADK telah membawanya ke Balai Polis Kuala Kedah untuk dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah. Ini adalah kerana hanya pihak polis yang mempunyai kuasa membawa pesakit mental ke jabatan kecemasan seperti yang diperuntukkan dalam Akta Kesihatan Mental 2001.

Trend wanita muda yang ketagihan dadah dan hamil anak tak sah taraf ini adalah sesuatu yang membimbangkan. Nampaknya kita perlu bertindak segera menyelamatkan bayi-bayi seperti ini ketika mereka belum dilahirkan lagi.











Comments