DUA JIWA TERSELAMAT

Rashidah (bukan nama sebenar) adalah wanita berumur 27 tahun di Kuala Kedah yang telah diselamatkan oleh kami, MCPF Kota Setar bersama AADK, Klinik Kesihatan dan PDRM pada 10 Jun 2020. Dia hamil 8 bulan anak tak sah taraf dan aktif mengambil syabu sehingga mengalami gejala psikosis dan mengancam untuk membuang bayinya ke dalam sungai apabila dilahirkan kelak. Kami telah menahannya dan memasukkannya ke wad psikiatri, Hospital Sultanah Bahiyah untuk merawat gejala penagihannya.

Alhamdulilah setelah 3 minggu dirawat, kita dapat melihat kembali sinar keceriaan dan kejernihan pada wajahnya. Minggu hadapan, dia akan dihantar ke rumah jagaan sebuah NGO di Selangor sehingga tarikh bersalin. Saya ada berbincang dengan pihak AADK, sekiranya selepas bersalin, didapati dia bersih dadah dan mahu menjaga anaknya, kemungkinan dia tidak perlu dihantar ke pusat pemulihan. Cukup sekadar pengawasan dalam komuniti dan pemantauan oleh NGO tersebut. Di sana dia akan diberi pekerjaan dan didikan agama oleh NGO ini yang aktif membantu wanita-wanita yang dipinggirkan.

Sebenarnya ramai lagi wanita malang sebegini dalam masyarakat kita. Keadaan mereka bertambah teruk apabila dibuang keluarga sendiri, tiada tempat bergantung dan terus hanyut dalam dunia khayalan dadah. Kita mampu membantu mereka dengan mengeluarkan mereka dari kitaran dan persekitaran dosa jika kita mahu dan saya yakin Tuhan akan permudahkan jalannya. Dalam kes ini, kita bukan telah selamatkan satu jiwa sahaja tetapi dua jiwa iaitu termasuk anak dalam kandungannya.

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak iaitu AADK, PDRM, JKM, Klinik Kesihatan Kuala Kedah dan Jabatan Psikiatri Hospital di atas kerjasama yang sangat baik bagi memastikan masa hadapan yang lebih cerah untuk dua jiwa ini. Insha Allah.

Comments