BENGKEL PINDAAN UNDANG-UNDANG PENANAMAN KETUM

Pada 27 dan 28 Oktober 2020, telah berlangsung Bengkel Pindaan Undang-Undang Terhadap Penanaman Ketum Mengikut Kanun Tanah Negara di Negeri Kedah. Program ini anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, PDRM Kedah telah diadakan di Dewan Delima, Hotel Raia, Alor Setar. Bengkel ini telah dirasmikan penutupan oleh YDH SAC Che Zaimani bin Che Awang, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, PDRM Kedah. Turut hadir YDH ACP Mohd Zaki bin Ashar, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, PDRM Kedah.

Saya telah dijemput sebagai fasilitator bengkel dan seterusnya membentangkan kertas kerja Kajian Saintifik Ketum dalam Bidang Perubatan. Antara isi hujahan pembentangan saya hasil perbincangan kumpulan kami adalah seperti berikut: 

1. Ketum merupakan dadah kerana bahan aktifnya iaitu mitragynine dan 7-HMG bertindakbalas di reseptor opioid di otak yang boleh menyebabkan ketagihan, gejala gian(craving) dan penarikan(withdrawal) kepada penggunanya sepertimana dadah opiate yang lain. 

2. Tiada manfaat ketum dari segi perubatan berdasarkan kajian saintifik terkini. Ketum sebagai ubat hanyalah satu mitos. Walaupun ia mungkin berpotensi untuk merawat penyakit tertentu, ia masih memerlukan kajian klinikal bagi membuktikannya. 

3. Negara memerlukan undang-undang yang lebih tegas dalam mengawal penanaman, pemilikan, menjalankan ujian saringan dan terutamanya dalam usaha merawat pulih penagih-penagih ketum. Akta Racun 1952 dan Kanun Tanah Negara tidak memadai untuk menangani isu-isu ini.

4. Perkara yang harus menjadi pertimbangan dalam isu ketum yang berkaitan bidang perubatan adalah : 
i. Isu Dasar dan Undang-Undang- Mempromosikan tindakan kawalan dan keselamatan berkaitan ketum serta mengurangkan kepentingan dan ketersediaan (availability)
ii. Kesedaran Masyarakat Awam- Mendidik masyarakat tentang risiko dan kesan buruk penagihan ketum
iii. Patofisiologi- Mengenalpasti mekanisme bagaimana ketum mendatangkan ketoksikan dan kerosakan kepada organ dalaman manusia
iv. Pengurusan Pesakit- Menyediakan garis panduan klinikal dalam merawat pesakit yang mengalami ketoksikan, penagihan dan gejala penarikan (withdrawal)
v. Peranan Terapeutik-Menilai potensi ketum dalam merawat kes kebergantungan opiate dan sebagai ubat tahan sakit serta potensi sebagai rawatan penyakit lain
vi. Prospek Penyelidikan-Kajian dari aspek farmakologi melalui penyelidikan dan pembangunan penting bagi merekacipta ubatan jenis baharu

5. Adalah dicadangkan penubuhan Institut Penyelidikan Penyalahgunaan Dadah Nasional agar pelbagai ujian klinikal dapat dijalankan bukan sahaja untuk mengkaji impak dadah-dadah tertentu seperti ketum kepada kesihatan, ia juga penting dalam mengkaji kesan psiko-sosial dan menyelaras geran dan penyelidikan berkaitan dadah di universiti-universiti tempatan.

Pembentang-pembentang kertas kerja lain adalah Prof Dr Noor Azniza binti Ishak, Pensyarah Pusat Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan YDH Supt Chandra Segaran A/L Subramaniam, Penolong Pengarah Perundangan/Siasatan Jenayah Narkotik PDRM Bukit Aman.


Bengkel ini diadakan bagi menyediakan kertas kerja untuk diangkat sebagai cadangan kepada pihak kerajaan dalam menggubal undang-undang baharu atau meminda undang-undang yang sedia ada bagi menangani permasalahan ketum dalam isu penanaman, pemilikan, pengedaran, pelucutan hak dan harta, pendaftaran sebagai pesalah jenayah dan penagihan di Negeri Kedah. Semoga usaha kecil kami ini bakal membuka lembaran baharu demi kemaslahatan masyarakat umum.

                                         

                                          
 





















Comments