KUARANTIN PADA ABAD KE-21

Perkataan kuarantin atau quarantine (Bahasa Inggeris) berasal dari perkataan ‘quarantena’ iaitu satu perkataan dialek Itali dari wilayah Veneto. Ia bermaksud 40 hari. Venice adalah pusat bandar Veneto yang menjadi pusat perdagangan antarabangsa. Ketika wabak Black Death (bubonic plague) pada abad ke-14 menyerang Eropah, setiap anak kapal dan penumpang perlu mengasingkan diri di pulau berdekatan selama 40 hari sebelum sesebuah kapal berlabuh, sebagai langkah pencegahan wabak ini.

Dalam konteks pengawalan penularan wabak covid-19, kuarantin merupakan satu kaedah yang sangat penting bagi membendung dan memutuskan rantaian jangkitan. Kegagalan kita untuk memahami konsep kuarantin akan menghalang usaha kita untuk memerangi wabak ini. Agak menyedihkan apabila bukan sahaja masyarakat awam yang kurang jelas tentang kuarantin ini malah golongan pemimpin juga masih kurang arif.

Apabila anda telah disahkan sebagai kontak rapat (close contact) atau kontak potensi (potential contact) kepada pesakit positif covid-19, anda akan diminta untuk menjalani saringan calitan tekak (pharyngeal swab) untuk pengesanan virus covid-19. Selepas itu anda akan dipakaikan gelang merah jambu (atau apa saja warna gelang diberikan oleh Pejabat Kesihatan Daerah) dan diminta untuk dikuarantin selama 14 hari di rumah masing-masing. 

Sepanjang tempoh kuarantin di rumah, secara idealnya anda haruslah berada di bilik yang berasingan daripada ahli-ahli rumah yang lain. Sebaik-baiknya anda tidak berkongsi bilik air dan peralatan rumah dengan orang lain. Anda mestilah memastikan penjarakan fizikal melebihi 1 meter sepanjang masa dengan ahli-ahli keluarga lain dan pakai pelitup muka jika perlu berinteraksi. Elakkan berjumpa tetamu dan sentiasa cuci tangan. Kesihatan anda perlu dipantau terutamanya suhu badan dan maklumkan kepada pihak kesihatan sekiranya anda mengalami gejala demam, batuk, sukar bernafas, sakit badan dan sakit tekak. 

Pengalaman saya selama 2 minggu berkuarantin baru-baru ini telah menyedarkan saya bahawa kuarantin di rumah bukannya duduk di rumah semata-mata. Saya berada keseorangan di dalam bilik dan hanya berinteraksi dengan isteri dan anak-anak melalui panggilan video. Mujurlah anak perempuan saya yang berumur 5 tahun itu memahami yang saya tidak dapat bersamanya mewarna buku ‘My Little Pony’ seperti biasa. Makanan pula diletakkan di hadapan pintu bilik setiap hari oleh isteri saya. Selepas calitan kedua saya negatif, baharulah saya menamatkan tempoh 14 hari kuarantin dan gelang dipotong oleh Pejabat Kesihatan Daerah. 

Setiap orang yang dikuarantin akan diberi surat perintah pengawasan rumah (house surveillance order) dan surat perintah ini adalah berdasarkan Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Jika dalam tempoh kuarantin ini, didapati anda berada di tempat selain dari alamat premis yang tertera pada surat tersebut, anda boleh didakwa. Oleh itu, sesiapa yang melanggar syarat kuarantin ini, perlu diambil tindakan tegas, tanpa mengira pangkat kerana tiada sesiapa yang kebal undang-undang terutamanya dalam perkara yang melibatkan maslahat umum.

Walaupun virus covid-19 kini berada dalam komuniti, kita harus sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) - pakai pelitup muka, sentiasa cuci tangan dan jaga penjarakan fizikal. Sememangnya agak sukar untuk mengelakkan diri daripada menjadi kontak potensi kes kerana kita tidak tahu siapa yang sudah terdedah kepada virus ini dalam rutin seharian kita seperti yang saya alami. Lebih baik tinggal di rumah sahaja dan tidak perlu ke mana-mana terutamanya ketika peningkatan kes dan kewujudan kluster-kluster baharu. Tanpa rawatan dan vaksin yang mujarab, hanya dengan mematuhi SOP sahaja risiko penularan jangkitan dapat dikurangkan.

Dr Zaki Zamani bin Abd Rashid
Mantan Pemakai Gelang Pink




Comments