KISAH HAMIL ANAK SULUNG DAN PENAGIHAN

Pada 1 Disember 2020, saya mewakili MCPF Kota Setar bersama AADK Kota Setar, Pasukan Pelindung Kanak-kanak JKM dan jururawat masyarakat Klinik Kesihatan Kuala Kedah telah melawat satu pasangan suami isteri di Kuala Kedah. Mulanya kami ke rumah sewa mereka yang agak daif tetapi mereka tiada di situ. Seterusnya kami menemui mereka di rumah saudara mereka di kampung berdekatan. 

Si suami merupakan Orang Kena Pengawasan (OKP) dan masih dalam pengawasan AADK. Tujuan utama kami adalah untuk melawat si isteri yang berusia 36 tahun dan sedang hamil 7 bulan anak pertama mereka. Isunya selain mengidap diabetes, si isteri aktif mengambil methamphetamine dan urinnya positif apabila diperiksa ketika lawatan kami. 

Pihak AADK menasihatkan si isteri agar berhenti mengamalkan tabiat buruk ini dan akan sentiasa memantaunya sehingga bersalin dengan kerjasama pihak klinik kesihatan. Disebabkan mengandung, dia tidak dapat dihantar ke pusat pemulihan sehinggalah dia bersalin. Pegawai Pelindung Kanak-kanak juga memberi amaran, bayi yang bakal dilahirkan tidak sesuai tinggal di rumah sewa yang kotor itu. Pihak JKM juga akan membuat susulan selepas dia bersalin kelak bagi memastikan kebajikan bayi tersebut terjamin.

Kes sebegini bukanlah kes terpencil. Sejak akhir-akhir ini, trend kes wanita hamil yang ketagihan dadah semakin membimbangkan. Peningkatan kes-kes yang melibatkan wanita bawah umur dan kehamilan tak sah taraf juga merisaukan. Ini menimbulkan dilemma kepada pihak kami kerana besar implikasinya terutama dari segi pemulihan si ibu kerana terpaksa memisahkan ibu dan bayi yang baru dilahirkan. Jika tidak, kita tidak boleh pula membiarkan bayi atau mana-mana kanak-kanak tinggal dalam persekitaran yang kotor dan tidak sihat di rumah yang sedia maklum aktif dengan penagihan. 

Secara idealnya, satu pusat pemulihan khas untuk ibu dan bayi wajar diwujudkan, sama ada atas inisiatif kerajaan atau kerajaan memberi dana kepada pihak NGO tertentu untuk menjalankan program pemulihan untuk ibu bersama bayi mereka. Setakat ini belum ada satu garis panduan khusus untuk menangani kes-kes sebegini yang nampaknya semakin banyak di Kota Setar ini, melainkan perlu dipisahkan ibu dan bayi. Tindakan memisahkan bayi dengan ibu kandung dalam tahun pertama kelahiran adalah sesuatu yang tidak baik untuk psikologi bayi tersebut dalam jangka masa panjang.

Saya berdoa agar wanita-wanita sebegini diberi kesedaran untuk kembali ke jalan yang benar demi anak-anak dan keluarga mereka. Kami akan terus memantau dan bertindak dengan cara pertimbangan yang sehabis baik.

                                       









Comments