KISAH DI SEBALIK KEBAKARAN DI TAMAN KOTA NELAYAN

Pada 12 Januari 2021, saya bersama AJK UMNO Bahagian Kuala Kedah dan KRT Taman Kota Nelayan telah menziarahi mangsa kebakaran di Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah. Rumah ini yang dihuni oleh sepasang suami isteri dan adik perempuan mereka, hangus dalam kejadian yang berlaku lebih kurang jam 8 malam sebelumnya . Syukur tiada kemalangan jiwa berlaku. Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak Bomba.

Tragedi kebakaran ini diceritakan oleh kakaknya mungkin ada kaitan dengan adik perempuan mereka yang suka bermain api di dalam rumah sejak akhir-akhir ini. Dia merupakan wanita berumur 34 tahun yang berwatakkan lelaki dan pernah menjalani pemulihan di Pusat Pemulihan AADK di Bachok 5 tahun lalu. Dia masih aktif mengambil dadah dan ketum; dan saya dimaklumkan oleh AADK bahawa keputusan urin terbarunya positif methamphetamine. Menurut kakaknya, sejak setahun lepas, dia telah mula mengalami simptom delusi dan halusinasi. Oleh sebab itu, pihak AADK tidak dapat menghantarnya ke pusat pemulihan. 

Sehubungan itu, saya telah berbincang dengan keluarganya untuk memasukkannya ke wad psikiatri bagi mendapatkan rawatan untuk penyakit mentalnya terlebih dahulu. Ini adalah jalan terbaik untuk membantunya. Pihak Jabatan Psikiatri juga telah dimaklumkan tentang kes ini. Walau bagaimanapun, dia tidak ditemui di kawasan sekitar dan kami terpaksa membuat laporan di Balai Polis Kuala Kedah bagi mendapatkan kerjasama pihak Polis untuk membawanya ke hospital. Akhirnya, dia ditemui dan telah berjaya dipujuk oleh ahli keluarga untuk dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah. 

Pada pandangan saya, adalah sangat penting untuk mendapatkan rawatan segera bagi wanita ini kerana dia bukan sahaja menjadi ancaman kepada dirinya tetapi juga kepada masyarakat setempat sekiranya tidak menerima rawatan segera. Bahana penyakit mental akibat penyalahgunaan kronik dadah jenis sintetik seperti syabu adalah satu trend yang amat membimbangkan. Kita tidak mahu sebuah rumah lagi terbakar menjadi natijahnya.

Rumah terbakar semua orang tahu, jiwa terbakar tiada siapa yang tahu. Bantuan secara holistik adalah lebih ideal dan bukan memberi sumbangan berbentuk material semata-mata, terutamanya dalam menangani permasalahan sosial yang menjadi punca tragedi ini berlaku.

                                                   













Comments