HADK 2021 : LEBIH BAIK CEGAH

 

Pada 19hb Februari 2021, adalah Peringatan Hari Anti Dadah Kebangsaan 2021 dengan tema ‘Lebih Baik Cegah’. Tema ini sangat bertepatan jika dilihat natijah yang bakal ditanggung oleh individu, masyarakat dan negara sekiranya kita gagal melaksanakan aktiviti pencegahan dadah dengan berkesan. Kegagalan ini harganya sangat mahal yang perlu kita bayar kerana ia boleh mengganggu gugat kesucian agama, keselamatan nyawa, pertimbangan akal, kemuliaan nasab dan pemeliharaan harta. Tanggungjawab mencegah penyalahgunaan dadah ini bukan hanya perlu dipikul oleh PDRM dan AADK semata-mata malah juga melibatkan semua jabatan dan agensi serta komuniti itu sendiri. Impak hasil daripada kegagalan kita dalam menangani isu dadah ini adalah sangat serius yang menyebabkan :

1. Peningkatan kes jenayah dan pertambahan jumlah banduan dalam penjara kerana majoriti kes perlakuan jenayah adalah berkaitan dadah.

2. Ancaman keselamatan kepada keluarga dan masyarakat memandangkan trend terkini penggunaan dadah sintetik menyebabkan penggunanya mengalami simptom penyakit mental yang boleh menjadi agresif dan berbahaya. Tidak dinafikan, kes penderaan kanak-kanak akhir-akhir ini adalah berkaitan dadah.

3. Keruntuhan institusi kekeluargaan apabila dadah memusnahkan ikatan persaudaraan, merosakkan moral dan menggalakkan pergaulan bebas sehingga terlahirnya generasi tak sah taraf yang menjejaskan susur galur keturunan. Kehormatan kaum wanita akan tercalar dan anak-anak yang tak berdosa akan terpinggir.

4. Kegagalan fungsi sosial seseorang individu dalam masyarakat menjadikan peranan dan tanggungjawab mereka menjadi terabai. Mereka akan gagal menjalankan peranan sebagai pekerja, ibu bapa, anak, pelajar malah pemimpin jika mereka terlibat dengan dadah.

5. Pertambahan jumlah penagih dadah akan meningkatkan kos rawatan pemulihan dan menyesakkan lagi pusat pemulihan yang telah sedia sesak. Pemulihan seseorang penagih adalah proses pemulihan sepanjang hayat bagi mengelakkannya daripada terjebak semula.

Kesimpulannya, lebih baik cegah.

Dr Zaki Zamani bin Abd Rashid
Pengerusi MCPF Daerah Kota Setar
Ikon AADK


Comments