DIALOG MASALAH AIR DI KUALA KEDAH

Pada 4 Mac 2021, telah berlangsung sesi dialog SADA bersama JPKK dan wakil - wakil penduduk dari sekitar Kuala Kedah di Dewan Surau Kampung Tengku Laksamana, Kuala Kedah. Kebanyakan hadirin adalah dari Kampung Tepi Laut,Kampung Tengku Laksamana, Taman Desarina, Taman Bersatu dan Taman Armada. Lokaliti-lokaliti ini merupakan penerima paling hujung dan akhir air terawat daripada sistem perpaipan pengagihan air SADA yang menyebabkan mereka menerima air bertekanan rendah.

Dalam musim kemarau ini, jumlah permintaan bekalan sememangnya meningkat dan sukar bagi pihak SADA untuk memenuhinya. Tidak dinafikan dengan masalah komunikasi dengan pemandu lori SADA dan staf hotline menambahkan lagi perasaan tidak puas hati penduduk. Dialog hari ini yang dihadiri oleh YB Dato’ Suraya Yaacob, Exco Bekalan Air Negeri Kedah yang bertindak sebagai pemudahcara, para hadirin telah diberi taklimat oleh jurutera SADA serta mereka juga mengambil peluang meluahkan sebarang permasalahan yang timbul berkaitan isu bekalan air di kawasan tempat tinggal mereka.
Hasil daripada sesi dialog tersebut, 2 tindakan segera telah dipersetujui iaitu:

1. SADA perlu memastikan perkhidmatan lori tangki menghantar bekalan air kepada penduduk di kawasan yang terjejas setiap 2 hari sekali, serta menambah jumlah lori daripada 5 buah kepada 8 buah.

2. Masalah komunikasi yang berlaku terhadap pelanggan akibat layanan kurang sopan pemandu lori SADA dan staff hotline akan diambil tindakan oleh pihak SADA. Penduduk harus terus membuat aduan melalui talian hotline tersebut bagi membolehkan pihak SADA mengenalpasti dan memantau kawasan yang bermasalah bekalan air.

Selain itu, tindakan jangkamasa sederhana adalah pengaktifan semula rumah pam di Taman Seri Putra yang dapat meningkatkan tekanan air untuk bekalan di kawasan sekitar Kuala Kedah. Proses pembelian dan pemasangan pam yang baharu ini dijangka selesai dalam tempoh 7-8 bulan lagi. Penyelesaian jangkamasa panjang tentunya penaiktarafan loji air Pelubang yang dijangka siap 3 tahun lagi.

Sebelum itu, kami juga telah diberi taklimat oleh jurutera SADA tentang langkah-langkah penyelesaian yang sedang diambil SADA untuk mengatasi masalah bekalan air di Taman Bersatu dan Taman Armada.









Comments