INISIATIF RUMAH PERLINDUNGAN WANITA

Pada 24 Mac 2021, saya telah dijemput oleh YB Tuan Firdaus Ahmad, Exco Belia dan Sukan Negeri Kedah untuk berbincang dengan beliau berikutan kenyataan media saya dalam beberapa akhbar baru-baru ini berkenaan isu dadah dan wanita serta kesannya kepada kanak-kanak. Beliau telah menyatakan kebimbangan berkenaan fenomena yang melibatkan belia-belia wanita ini dan sedia untuk turun padang melihat sendiri gejala yang sedang berlaku dalam masyarakat.

Selain itu, kami berbincang tentang idea menubuhkan kelab anti dadah atau kelab pencegahan jenayah di sekolah-sekolah sebagai mewujudkan kesedaran awal tentang bahaya dadah dan jenayah komersil di kalangan pelajar-pelajar di institusi pendidikan.

Dalam perbincangan ini juga, saya telah mencadangkan dibina satu pusat perlindungan dan pemulihan khas untuk wanita yang terlibat dadah untuk tinggal bersama anak-anak mereka sehingga mereka pulih sepenuhnya. Mereka yang sedang hamil juga boleh ditempatkan di sini bagi mengelakkan bayi dalam kandungan mengalami kesan buruk jika ibu terus mengambil dadah. Kerajaan Negeri Kedah boleh mengambil inisiatif ini dengan kerjasama AADK, JKM, LPPKN, Jabatan Kesihatan dan NGO yang berkaitan. Beliau akan berusaha bagi mendapatkan dana untuk inisiatif ini. Walau bagaimanapun, kami bersetuju bahawa inisiatif ini prosesnya akan mengambil masa, tetapi usaha ke arah ini harus dimulakan segera.







Comments