PROGRAM KEUSAHAWANAN PELUANG KEDUA

Program Keusahawanan ‘Peluang Kedua’ bersama Tekun Nasional 2021 telah diadakan pada 7 April 2021 di Awla Centre, Mentaloon, Alor Setar. Program ini diadakan bagi memudahcara klien-klien AADK untuk memohon pinjaman Tekun bagi mengembangkan perniagaan mereka. Kebanyakan yang dipilih ini sememangnya telah terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan, antaranya bengkel kereta, kedai gunting rambut, kedai runcit, gerai burger dan lain-lain.

Tekun menyediakan pinjaman perniagaan melalui Skim Pembiayaan Tekun Niaga kepada mereka sehingga RM10 ribu bergantung kepada keperluan dan jenis perniagaan. Ini merupakan inisiatif pertama di Negeri Kedah bagi meningkatkan taraf ekonomi dan membantu mereka untuk terus menjauhkan diri daripada perangkap penagihan. Taklimat disampaikan oleh En Mohamad Saidi bin Azizan, Eksekutif Pembangunan Usahawan, Tekun Nasional Negeri Kedah.

Dalam ucapan majlis penutup, saya mengingatkan mereka, nilai kepercayaan yang diberikan oleh kami terhadap mereka untuk berjaya dalam perniagaan adalah sangat tinggi. Mereka harus memanfaatkan peluang yang diterima ini untuk mengubah persepsi dan stigma masyarakat terhadap mereka dan memperbaiki taraf kehidupan agar lebih baik pada masa hadapan.

Terima kasih diucapkan kepada pihak Tekun Nasional Negeri Kedah kerana menyokong inisiatif ini hasil kerjasama Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Persatuan Rakan Kepulihan Anda (Perakan) dan AADK Daerah Kota Setar.

                                      



















Comments