KISAH PELENCONGAN SOSIAL

Pada 25 Ramadan 1442H bersamaan 7 Mei 2021, saya bersama Pegawai Pelindung Kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat, Penasihat Mahkamah Kanak-kanak, Penyelia Jururawat, Panel Penasihat Klinik Kesihatan Simpang Empat dan Sukarelawan Uthman Affan Prihatin telah melawat seorang remaja perempuan berumur 15 tahun yang baharu melahirkan seorang bayi lelaki tak sah taraf. Dia terlanjur dengan seorang remaja lelaki berumur 19 tahun dan kes ini masih lagi dalam siasatan pihak polis.

Tujuan utama lawatan kami adalah untuk memastikan bayi lelaki yang berusia 55 hari itu dalam keadaan sihat dan tidak terabai penjagaannya. Ini kerana bayi tersebut baharu sahaja discaj dari wad kerana kurang berat badan disebabkan tidak diberi susu yang mencukupi.

Remaja perempuan ini merupakan anak sulung daripada 5 adik-beradik. Adik bongsunya berumur 3 tahun. Ibunya berumur 38 tahun dan bapanya jarang berada di rumah. Kami difahamkan bapanya terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan tidak mengambil berat tentang kebajikan ahli keluarganya.

Dalam lawatan ini juga, kami menyampaikan sumbangan susu formula, lampin pakai buang, barang dapur, kuih raya dan wang tunai bagi memenuhi keperluan keluarga ini terutamanya dalam bulan Ramadan dan Syawal yang bakal tiba. Sekiranya selepas ini didapati bayi ini masih lagi mengalami masalah kurang berat badan, maka tiada alasan lagi bagi pihak Pelindung Kanak-kanak untuk tidak mengambil tindakan di bawah Akta Kanak-kanak 2001 bagi menyelamatkan bayi tersebut.

Inilah satu lagi bahana pelencongan sosial yang berlaku apabila seorang ketua keluarga terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Mereka gagal menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa, natijahnya kebajikan isteri dan anak-anak diabaikan.






Comments