PANDEMIC

Sesebuah kerajaan memainkan peranan yang besar dalam mengambil langkah yang wajar dalam mengawal wabak demi menyelamatkan nyawa rakyatnya. Banyak sejarah telah ditulis berhubung perkara ini dan ada juga yang berlaku sebaliknya.

Pada 1374, Kerajaan Venice telah memperkenalkan Undang-undang Kuarantin (daripada perkataan quarante quorni yang bermaksud 40 hari dalam Bahasa Itali) bagi mengawal penularan pandemik Bubonic Plague ketika itu. Wabak yang telah mengorbankan 200 juta nyawa ternyata dapat dikekang kerana pintu masuk dan pelabuhan Bandar Venice ditutup selama 40 hari untuk pedagang dan orang luar sehingga mereka disahkan ‘medically harmless’.

Pada akhir abad ke-17 pula, negara Eropah Barat telah membina stesen kuarantin yang dikawal ketat, dipanggil ‘lazaretto’ untuk kapal, penumpang dan barangan sehingga tamat tempoh 40 hari. Di darat pula, diwujudkan ‘cordon sanitaire’ iaitu garisan sempadan kawasan wabak yang dikawalselia oleh tentera bagi memastikan tiada sesiapa yang boleh keluar masuk tanpa kebenaran sebelum menjalani kuarantin yang ditetapkan. Sesiapa yang melanggar sempadan tanpa kebenaran akan ditembak. Ini lebih kurang sama dengan konsep sekatan jalan raya yang diamalkan, kecuali tidak melibatkan penggunaan senjata.

Walau bagaimanapun, mulai abad ke-19, tekanan daripada golongan pedagang menyebabkan undang-undang ini dilonggarkan. Mereka menyatakan kaedah pengawalan wabak ini sebagai ‘a most unwarrantable tyranny over merchant’. Malah ia juga dianggap sebagai satu kejahatan mutlak dalam hubungan komersil dan perdagangan maritim antarabangsa. Pada 1824, Charles Maclean menulis buku bertajuk ‘Evils of Quarantine Laws, and Non-Existence of Pestilential Contagion’. Golongan kapitalis menganggap kuarantin sebagai sesuatu yang ketinggalan zaman dan sains yang tahyul (scientific superstition).

Kerajaan Itali pada tahun 1911 pula, dalam keghairahan menyambut Hari Kebangsaan Itali yang ke-50 telah merahsiakan wabak taun (cholera) yang berlaku. Kerajaan telah menyekat sebarang publisiti wabak dalam media, pakar perubatan diarahkan tutup mulut dan sebarang bentuk pendidikan kesihatan tentang taun turut dihalang. Setiap laporan kes dan kematian disembunyikan oleh pentadbir negara. Ini dilakukan demi menjaga kepentingan industri pelancongan yang akan mengaut keuntungan berganda ketika sambutan perayaan itu. Padahnya, wabak taun ini telah mengorbankan 18 ribu rakyat Itali dalam tempoh 2 tahun sahaja wabak ini telah turut merebak ke Perancis dan Sepanyol.

Kita akan mengulangi kesilapan yang sama jika kita tidak belajar daripada sejarah. Pertimbangan yang wajar harus diberi dalam menyeimbangkan kepentingan ekonomi dan industri negara dengan kepentingan menjaga nyawa rakyat. Pemasaan (timing) yang tepat untuk bertindak amat penting dan titik ambang (threshold) yang rendah dalam membuat tindakan bagi menyelamatkan nyawa manusia harus diutamakan. Berbaloikah keuntungan ekonomi jika ramai rakyat mati?



Comments