PKPD TAMAN MAHSURI

Pada 17 Jun 2021, saya telah kembali bertugas di klinik Mahsuri Medical Centre setelah genap sebulan. Ini adalah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Mahsuri dan Bandar Darulaman yang baharu ditamatkan dua hari lepas. Tidak dinafikan tempoh PKPD untuk penduduk di sini merupakan satu tempoh yang sangat mencabar.

Ada yang kehilangan ahli keluarga tersayang akibat wabak ini dan ramai yang terjejas dari segi kewangan kerana kekangan pergerakan. Setakat ini, telah direkodkan 15 orang telah terkorban dan ada pesakit dari kalangan penduduk di sini yang masih bertarung nyawa di hospital. Salah seorang yang meninggal juga merupakan pesakit saya yang bekerja di salah sebuah hotel di sini. Saya ingin menyampaikan salam takziah kepada semua yang kehilangan ahli keluarga akibat wabak covid19 dan semoga mereka sentiasa reda dan bersabar di atas kententuan Ilahi ini.

Walaupun PKPD telah ditamatkan di sini dan Daerah Kota Setar, kita tidak seharusnya leka kerana ancaman wabak ini belum berakhir. Teruskan menjaga SOP, sentiasa memakai pelitup muka dan jaga penjarakan sosial. Daftar segera untuk mendapatkan suntikan vaksin untuk imunisasi covid19 kerana ini sahaja merupakan kaedah yang terbukti secara sains dapat melindungi diri kita, keluarga dan masyarakat. Semoga kita semua sentiasa dilindungi daripada wabak ini.



Comments