LAWATAN MENTERI KE KUALA KEDAH

Pada 13 Ogos 2021, YB Datuk Seri Rina binti Mohd Harun, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah mengadakan lawatan ke Kampung Tok Pasai, Kuala Kedah. Saya sebagai Penyelaras Program Family and Community Empowerment (FACE) Kuala Kedah telah membantu dengan mengatur bagi pihak Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) untuk YB Menteri menziarahi seorang ibu muda Puan Siti Noraini binti Roslan yang baharu bersalin 24 hari. Bayinya masih di hospital kerana masalah kesihatan. Suaminya bekerja sebagai penjual ikan dan pendapatannya terjejas disebabkan pandemik yang mana beliau juga perlu menyara ibu dan anak sulungnya yang berusia 4 tahun.

Bantuan Kit LPPKN Prihatin : Dana Kasih telah disampaikan oleh YB Menteri bagi mengurangkan bebanan kos pengurusan bayi dan ibu ketika dalam tempoh berpantang. Kit bantuan ini mengandungi barangan keperluan ibu dan bayi selepas bersalin. Turut hadir Tuan Haji Abdul Shukur bin Abdullah, Ketua Pengarah LPPKN dan En Adzhar bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah LPPKN.

                                        










Comments