POSTING YANG KE-1000

          

Alhamdulilah, bermula dari tahun 2015, ini merupakan penulisan posting saya yang ke-1000 untuk blog ini. Matlamat utama saya memulakan inisiatif menulis blog adalah kerana mahu berkongsi idea tentang isu-isu semasa dan program-program anjuran saya. Di samping itu, ia juga bertujuan untuk menyimpan kenyataan-kenyataan saya yang diterbitkan di media massa iaitu sama ada di media cetak, media elektronik dan media sosial. Blog ini juga manjadi platform saya untuk membuat ulasan buku-buku yang saya baca sebagai perkongsian intipati yang berguna sesebuah buku. Selepas 6 tahun, saya masih konsisten dan berjaya mencuri masa menulis dan berkongsi aktiviti-aktiviti saya sepanjang gerak kerja dalam NGO dan politik. Dalam tuntutan kerjaya yang sibuk, saya berkesempatan mengambil masa ketika menunggu di antara pesakit-pesakit di klinik saya untuk mengemaskini blog ini. Jika saya memerlukan lebih masa, saya akan datang lebih awal di klinik untuk menulis.

Penglibatan saya dalam NGO dan politik telah banyak berubah sepanjang 6 tahun lalu. Ada tanggungjawab yang telah saya lepaskan bagi memenuhi amanah baharu yang lebih berat. Contohnya Diabetes Malaysia Negeri Kedah, yang mana saya tidak menawarkan diri lagi untuk bertanding sebagai Timbalan Pengerusi kerana mahu menumpukan kepada NGO pencegahan jenayah. Prinsip saya adalah tiada gunanya memegang banyak jawatan sekiranya tidak mampu membawa perubahan ke dalam organisasi yang kita terajui. Khidmat yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat wajar diutamakan dan menjadi matlamat akhir dalam perjuangan, bukannya semata-mata memenuhi agenda peribadi dan mahukan kemasyhuran diri.

Seperti biasa, sebagai ingatan kepada diri sendiri dan rakaman dalam blog ini, pada ketika ini, saya berperanan dalam organisasi berikut :

  • Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah
  • Ikon AADK Negeri Kedah
  • Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Daerah Kota Setar
  • Ahli Jawatankuasa MCPF Negeri Kedah
  • Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah Kota Setar
  • Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM)
  • Ahli Jawatankuasa Tindakan Perpaduan Daerah Kota Setar
  • Penasihat Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Daerah Kota Setar
  • Bendahari Lembaga Pelawat Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar
  • Pengerusi Persatuan Profesional dan Usahawan Negeri Kedah (PEAKS)
  • Ahli RELA Bersekutu/Kehormat Negeri Kedah
  • Pengerusi Pasukan Bomba Komuniti Kuala Kedah
  • Ahli Jawatankuasa Sukarelawan Perubatan Malaysia (SPM)
  • Penyelaras Program Family and Community Empowerment (FACE) LPPKN, Kuala Kedah
Dalam bidang akademik pula, hasrat untuk bergelar pakar perubatan masih lagi tertangguh akibat pandemik kerana kesukaran examiner untuk datang ke negara kita dan tambahan pula situasi negara kita masih belum selamat. Peperiksaan MRCP (Ireland) hanya dijadualkan di Kuala Lumpur pada Oktober 2022. Saya juga merasa agak berat untuk merantau bagi menduduki peperiksaan di luar negara dengan peraturan kuarantin dan sebagainya di sana. Sehingga saat itu, saya perlu bersabar untuk memenuhi cita-cita saya dalam bidang kerjaya yang saya minati ini.

Istimewanya blog ini adalah ia telah menjadi sumber rujukan tepat dan tersusun untuk setiap aktiviti saya. Gambar-gambar program mudah dicari kembali apabila diperlukan dan bukan sekadar untuk saya tetapi juga sesiapa saja yang terlibat dengan gerak kerja saya. Saya berharap saya diberi kekuatan untuk terus berbakti dan blog ini akan menjadi testimoni kerja keras yang konsisten dan kejayaan perjuangan saya.

Comments