SUMBANGAN BAKUL MAKANAN PKPD KUALA KEDAH

Pada 10 September 2021, saya telah berkesempatan menyampaikan sumbangan bakul makanan di kawasan PKPD Mukim Kuala Kedah melibatkan Kampung Tok Pasai, Seri Pantai, Kampung Madrasah, Taman Seri Putra, Taman Harapan, Perumahan Awam, Taman Desarena, Kampung Tepi Laut, Kampung Balai dan Kampung Kilang Ais. Sumbangan bakul makanan ini adalah di bawah inisiatif Program Food Bank Sukarela yang saya selaraskan.

Dengan jumlah kes covid-19 yang tinggi di sini, bagi mengurangkan kontek, kami menyampaikan sumbangan kepada wakil-wakil komuniti iaitu kepada Haji Yusof Ismail, Ketua UMNO Cawangan Taman Seri Putra, En Suhaimi Jusoh, Pengerusi JPKK Kampung Balai serta beberapa wakil komuniti di Kampung Tok Pasai dan Seri Pantai.

Tindakan melaksanakan PKPD di sini adalah amat tepat bagi membendung peningkatan kes jangkitan dan kematian. Diharapkan semua warga Kuala Kedah dapat bersabar. Kita sedia maklum komuniti di sini amat memerlukan bantuan dalam situasi terkini. Selain banyak sumbangan daripada pihak NGO, saya difahamkan sememangnya pihak Kerajaan melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kota Setar sentiasa tidak putus-putus menghantar bantuan kepada penduduk yang terkesan dan gerak kerja ini akan lebih diperhebat selepas ini.

Apa yang penting, penduduk harus terus mematuhi SOP, buat ujian saringan jika perlu dan pastikan sudah menerima vaksin demi mengekang penularan wabak yang lebih buruk. Saya berdoa semoga tempoh PKPD ini tidak disambung supaya kita semua dapat meneruskan kehidupan kembali.

Terima kasih diucapkan kepada pihak Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), JKM dan PDRM Daerah Kota Setar di atas kerjasama yang diberikan bagi memudahkan urusan kami dalam membantu masyarakat di sini.




















 

Comments