LELAKI SEBAGAI PELINDUNG WANITA

"Mengapakah kau diciptakan Allah menjadi manusia? Kan lebih baik kau menjadi haiwan?"
Apabila saya dimaklumkan tentang kes lawatan hari ini, saya teringat dialog daripada filem ‘Ibu Mertuaku’ di atas. Kronologi kes boleh dirujuk pada pautan ini :


Dalam lawatan saya bersama Pasukan Pelindung Kanak-kanak dan Pegawai Pelindung Kanak-kanak, JKM Daerah Kota Setar, kami menyampaikan sumbangan kepada mangsa iaitu isteri dan 6 orang anaknya dalam bentuk kewangan dan barangan keperluan harian sementara beliau tinggal di rumah ibunya. Kami juga membawa ayam goreng KFC dan mainan kanak-kanak untuk menceriakan hati anak-anak kecilnya.

Selain itu, kami menguruskan vaksinasi covid-19 dos kedua anaknya yang berumur 13 tahun dan tarikh rawatan susulan bersama kaunselor di Hospital Sultanah Bahiyah untuk beliau dan anaknya.

Tidak dinafikan mereka masih mengalami trauma dan tekanan emosi akibat perbuatan suami dan bapa sendiri. Semoga mereka dapat memulakan penghidupan baharu selepas ini dan sentiasa diberi kekuatan oleh Allah swt untuk terus berjuang menangani kesan trauma jiwa yang dialami.

“The things we do to women”

Saya juga teringat dialog ini yang dituturkan oleh watak Presiden Bartlett kepada pegawainya dalam siri drama politik kegemaran saya iaitu ‘The West Wing’. Memang benar, kebanyakan penganiayaan yang berlaku kepada wanita dan kanak-kanak adalah berpunca daripada lelaki sendiri. Tanggungjawab seorang lelaki sangat besar sebagai pelindung wanita dan kanak-kanak. Kegagalan melaksanakan tanggungjawab ini adalah satu pengkhianatan besar terhadap amanah Allah swt kepada kita.

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang wanita, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka”(Surah An-Nisa : 34)

“Dan takutlah kamu kepada Allah di dalam urusan wanita, kerana sesungguhnya kamu telah mengambil mereka dengan amanah Allah” (Riwayat Muslim)

Kita perlu menginsafi segala bentuk pembelaan yang telah dijamin oleh Islam adalah bagi mengangkat darjat wanita serta memelihara kehormatan mereka dari sebarang penganiayaan dan kezaliman. Lelaki yang baik ialah lelaki yang menjadi pelindung dan pembela kepada kaum wanita seperti teladan yang ditunjukkan Rasulullah S.A.W.

“Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya di antara mereka. Dan sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap isterinya.” (Riwayat Ahmad)



Comments