MTMD DAERAH KOTA SETAR BIL 2/2021

Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Daerah Kota Setar Bil 2/2021 telah berlangsung pada 24 November 2021 di Bilik Gerakan, Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Kota Setar. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Tuan Mohd Rezal bin Dato’ Paduka Haji Rasli, Penolong Pegawai Daerah Kota Setar.

Saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah telah membentangkan laporan dan cadangan berikut :

Kesimpulan statistik terkini Orang Kena Pengawasan (OKP)Daerah Kota Setar :
- Jumlah OKP terkini adalah 1544 orang iaitu 93% Melayu dan wanita 37 orang
- Mukim Kuala Kedah dan Mukim Derga mencatat jumlah OKP tertinggi
- Tumpuan harus diberikan kepada klien bawah umur 30 tahun (40%), pengguna methamphetamine (73%) dan remaja bawah 18 tahun (6%)
- 25% klien merupakan peniaga atau menganggur - mereka ini perlu dilibatkan dalam program keusahawanan
- 40% mempunyai tahap pendidikan lebih rendah daripada PMR - inisiatif berbentuk program kemahiran perlu dirancang untuk mereka

Program dan cadangan :
1. Program temuseru klien wanita telah diadakan dua sesi iaitu melawat klien di rumah bagi memastikan mereka kekal dalam kepulihan.

2. Program My Therapeutic Family dengan kerjasama LPPKN untuk ibu bapa dan waris OKP telah selesai 3 fasa yang diadakan berkonsepkan kaunseling berkelompok. Fasa seterusnya adalah program temuseru.

3. Bengkel interaktif bersama JKM untuk pesalah muda kes dadah bersama ibu bapa mereka akan diadakan. Kehadiran mereka adalah wajib sebagai sebahagian daripada perintah Mahkamah Kanak-kanak.

4. Program Keusahawanan OKP Peluang Kedua dengan kerjasama Tekun Nasional telah dilaksanakan dan seorang usahawan telah menerima pinjaman RM5 ribu untuk mengembangkan perniagaan penternakan kambingnya.

5. Cadangan Program Saringan Hepatitis C and HIV untuk klien-klien AADK dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah sangat perlu kerana mereka adalah golongan berisiko disebabkan perkongsian jarum suntikan dan hubungan rambang.

6. Cadangan agar diwujudkan pusat perlindungan untuk klien wanita dan klien pesakit mental yang tiada tempat bergantung bagi menjauhkan mereka daripada persekitaran yang tidak sihat.

Saya juga mengalu-alukan makluman daripada Pegawai Kesihatan Daerah berkenaan pelaksanaan Program One Stop Centre For Addiction (OSCA) di Klinik Kesihatan Kuala Kedah. Seingat saya, Program OSCA ini pernah saya cadangkan untuk dilaksanakan di Kota Setar dalam MTMD tahun 2016.

Turut hadir dalam mesyuarat kali ini adalah Penolong Pengarah (Pencegahan) AADK Kedah, Ketua Pegawai AADK Daerah, Pegawai Kesihatan Daerah, Pegawai Perpaduan Daerah, Pegawai Bahagian Narkotik PDRM Kota Setar, wakil Pejabat Pendidikan Daerah, Kaunselor LPPKN, wakil MBAS, penghulu-penghulu mukim serta beberapa agensi lain.






Comments