KISAH PENAGIHAN WANITA DAN PENGABAIAN KANAK-KANAK

Penagihan dadah, wanita, anak tak sah taraf dan pengabaian kanak-kanak telah menjadi satu naratif yang berulang-ulang dalam masyarakat.

Pada 7 Disember 2021, bertempat di Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Daerah Kota Setar telah diadakan satu persidangan kes melibatkan seorang Orang Kena Pengawasan (OKP) wanita. Dia berumur 35 tahun, baharu dibebaskan dari Puspen Bachok awal tahun ini dan masih menagih walaupun dalam pengawasan AADK. Dia telah melahirkan seorang bayi lelaki bulan lalu dan bayi tersebut kini sedang dirawat di NICU, Hospital Sultanah Bahiyah akibat komplikasi paru-paru mungkin disebabkan tersedak susu.

Selain Pegawai Pelindung Kanak-kanak JKM dan saya mewakili Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD), turut hadir adalah Pegawai-pegawai AADK Daerah Kota Setar. Kami berpandangan selagi dia tidak pulih dari penagihan, adalah tidak sesuai untuk dia menjaga bayinya itu. Dia berjanji akan mengikuti program pemulihan dalam komuniti anjuran AADK dan JKPD serta berhasrat untuk memulakan kehidupan baharu. Kami bersetuju untuk memberi peluang kepadanya untuk berubah. Dia juga menyatakan ada pasangan yang berminat untuk mengambil bayinya sebagai anak angkat. Alternatif ini akan dibincangkan dan dibuat penilaian seterusnya oleh pihak JKM.

Walaupun begitu, secara idealnya, bayi ini lebih baik jika dijaga oleh ibu kandungnya sendiri. Ikatan kasih sayang terhadap anaknya dapat membantu kepulihannya. Seperti yang pernah saya utarakan sebelum ini, sebuah pusat perlindungan wanita untuk kes seperti ini wajar diwujudkan bagi membolehkan si ibu menjaga anaknya dan pada masa yang sama menjalani program pemulihan. Langkah ini penting kerana dapat memberikan persekitaran yang sihat kepada kedua-duanya dan jauh daripada pengaruh penagihan.

Seperti kes-kes sebelum ini, kita hanya mampu menunjukkan jalan dan membantu apa yang terdaya dalam ruang lingkup yang sedia ada. Terpulang kepada individu terbabit untuk berubah dengan izin Allah swt. Keutamaan kami adalah menyelamatkan kanak-kanak terlebih dahulu dan berharap agar naluri keibuan akan membantu ibunya kembali ke pangkal jalan.



Comments