IMPIAN MENJADI PAKAR

Pada 22 Mei 2022, saya telah menduduki peperiksaan akhir klinikal Membership Royal College of Physicians (MRCP) Ireland di Hospital Kuala Lumpur. Peperiksaan kepakaran bidang perubatan dalaman (internal medicine) ini adalah bagi merealisasikan cita-cita saya untuk menjadi seorang pakar perubatan (physician).

Saya menceburi bidang kepakaran ini sejak tahun 2008 dan mengikuti pengajian peringkat sarjana Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tetapi terhenti pada tahun 2010 kerana mahu menumpukan perhatian dalam bidang politik. Walaupun begitu, saya tetap menduduki sendiri peperiksaan MRCP United Kingdom sehingga lulus Part 2A pada awal 2013.

Perjalanan karier saya terhenti pada Mei 2013 apabila saya meletakkan jawatan sebagai pegawai perubatan di Hospital Sultanah Bahiyah untuk bertanding di Pilihanraya Umum Ke-13. Selepas itu, dalam masa 5 tahun, 4 kali saya menduduki peperiksaan akhir klinikal MRCP (UK) tetapi belum ada rezeki sehingga tamat tarikh luput peperiksaan pada 2018. Saya perlu mengambil semula peperiksaan dari awal Part 1 jika mahu meneruskan impian.

Pada akhir 2018, saya nekad untuk menduduki peperiksaan Part 1 MRCP (Ireland) pula. Syukur saya lulus peperiksaan bertulis Part 1 dan Part 2A pada percubaan pertama dan seterusnya dapat menduduki peperiksaan akhir klinikal pada 2019. Tetapi masih belum ada rezeki juga ketika itu. Bagi saya, faktor utama yang menjadi penghalang kejayaan saya adalah kerana kurangnya latihan klinikal yang sentiasa diperoleh ketika berkhidmat di hospital kerajaan.

Kemudiannya, usaha saya tergendala pula akibat pandemik dan impian saya tertangguh lagi selama hampir 3 tahun sehingga peperiksaan ini dapat diadakan semula di Malaysia baru-baru ini. Semoga ada rezeki dalam peperiksaan kali ini yang sudah masuk kali ke-6 buat saya. Untuk peperiksaan ini, saya membuat persediaan lebih 3 bulan dan ia satu cabaran besar dalam mengimbangkan masa antara menelaah buku dan penglibatan dengan aktiviti kemasyarakatan.

Sebenarnya rasa putus asa tiada dalam kamus hidup saya. Ini adalah masa terbaik untuk lulus kerana selepas ini dengan jadual aktiviti politik dan NGO yang makin padat, kekangan masa akan menjadi musuh utama saya. Insya Allah dengan berkat doa ibu, isteri dan kawan-kawan, impian saya untuk menjadi seorang pakar perubatan akan menjadi kenyataan.










Comments