PERGINYA SEORANG MENTOR

Pada 6 Syawal 1443H bersamaan 7 Mei 2022, saya telah kehilangan seorang sahabat baik dan mentor saya dalam politik. YBhg Dato’ Hashim bin Jahaya, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah merangkap Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah telah kembali ke rahmatullah pada jam 2.30 pagi ketika sedang tidur di kediamannya di Pantai Johor, Anak Bukit.

Saya mula mengenali Allahyarham pada tahun 2004 ketika beliau bertanding sebagai calon Barisan Nasional Parlimen Kuala Kedah dan menang sebagai Ahli Parlimen. Ketika itu saya terlibat sebagai Setiausaha PDM Kampung Tengah. Selepas itu, saya banyak terlibat dalam program-program kesihatan bersama beliau semasa bertugas di Klinik Kesihatan Alor Janggus. Banyak juga jasa beliau membantu klinik saya ketika itu.

Sebenarnya jasa beliau ketika berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kuala Kedah adalah amat besar untuk diungkapkan. Beliau bertanggungjawab membantu ramai golongan yang memerlukan dalam kawasan dan berjaya membina pelbagai fasiliti terutamanya dewan orang ramai untuk kegunaan masyarakat tempatan. Allahyarham selalu membantu pelajar-pelajar yang mahu melanjutkan pelajaran kerana beliau sangat mementingkan pendidikan anak bangsa.

Sumbangan beliau kepada parti UMNO juga sangat besar dan tidak ternilai. Sebagai seorang peguam, beliau petah berbicara isu-isu semasa dan mahir dalam pengurusan organisasi bagi memastikan struktur cawangan- cawangan dan jentera parti sentiasa mantap.

Sepanjang mengenali beliau, banyak ilmu politik yang saya belajar daripada beliau. Kesetiaan beliau yang tidak berbelah bahagi kepada parti amat saya kagumi. Ketika kami sama-sama bertanding pada PRU 13 lalu, beliau sering mengingatkan saya bahawa setiap perjuangan memerlukan pengorbanan. Kata-kata beliau pasti akan saya ingati sebagai azimat dalam meneruskan legasi perjuangan di Kuala Kedah. Pengalaman berkhidmat selama 4 tahun di bawah kepimpinan beliau sebagai Timbalan Ketua Bahagian adalah satu pengalaman yang amat berharga.

Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat kita semua. Salam takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.
Al-fatihah.
























Comments