IBADAH MELONTAR JAMRAH

Pada 11 Julai 2022, saya telah selesai melengkapkan manasik terakhir di Masyair iaitu ibadah melontar di ketiga-tiga jamrah di Mina. Sebelum itu, pada hari pertama di Mina juga saya telah melontar di Jamratul Kubra dan seterusnya bertahalul awal dengan bercukur sehingga botak. Rasanya kali terakhir saya botak licin sebegini adalah ketika berumur seminggu.

Ibadah melontar jamrah adalah satu lagi cabaran dalam melaksanakan kerja haji. Para jemaah haji perlu betul-betul sihat dan cergas kerana perlu berjalan jauh untuk melaksanakan ibadah ini. Untuk jemaah haji Malaysia tahun ini, jarak maktab-maktab Malaysia ke Kompleks Jamrah lebih kurang 10km pergi balik, dan perlu dilakukan selama 4 hari berturut-turut.

Oleh itu, nasihat saya kepada bakal-bakal haji masa akan datang agar memastikan tahap kesihatan dan kecergasan pada tahap terbaik sebelum berangkat ke tanah suci. Bakal haji perlu sentiasa aktif bersenam dan berjalan bagi mengekalkan kecergasan. Jika ada masalah kesihatan tertentu, dapatkan rawatan segera agar sampai di sana dalam keadaan yang sihat. Yang lebih penting, jangan sembunyikan masalah kesihatan anda daripada pegawai perubatan yang memeriksa untuk kelulusan saringan kesihatan.

Saya di Klinik Maktab 49 menemui ramai jemaah haji yang bermasalah sakit sendi lutut (osteoarthritis) yang menjadi kekangan untuk melaksanakan ibadah melontar dengan sempurna. Tetapi ada jemaah yang berinspirasi tinggi dapat juga melontar tanpa menggunakan kerusi roda atas semangat mahu menunaikan ibadah. Pemikiran yang positif dan kekuatan mental sangat penting, dengan izin Allah swt boleh menjelmakan keajaiban dalam perkara ini.

                                             












Comments