MAJLIS PENGHARGAAN SAHABAT MAKTAB

Majlis Penghargaan Sahabat TH Musim Haji 1443H/2022M telah berlangsung pada 16 Julai 2022 di Hotel Abraj Janadriyah, Mekah Al-Mukarramah. Majlis ini telah disempurnakan oleh YBhg Dato’ Sri Syed Saleh bin Syed Abdul Rahman, Ketua Rombongan Haji Malaysia. Turut hadir adalah YBhg Dr Safari bin Marzuki, Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan) Malaysia.

Dalam majlis ini, seramai 175 orang sahabat maktab dari Maktab 46, 47, 48, 49 dan 50 diraikan dan disampaikan sijil penghargaan oleh pihak Tabung Haji. Sahabat Maktab adalah jemaah haji yang terpilih sebagai sukarelawan untuk membantu operasi Tabung Haji dalam mengendalikan dan memudahcara urusan kebajikan berkaitan jemaah. Terdapat tiga kategori Sahabat Maktab iaitu Sahabat Am, Sahabat Medik dan Sahabat Ibadah.

Dalam majlis ini, saya dan isteri, yang merupakan Sahabat Medik untuk Maktab 49 turut menerima sijil penghargaan daripada pihak Tabung Haji. Tugasan ini telah memberi satu pengalaman yang cukup menarik terutamanya ketika kami membantu klinik maktab di Masyair.

Majlis ini diakhiri dengan nyanyian lagu Teman Sejati dan Jalur Gemilang. Seterusnya kami dijamu nasi arab sebagai menu makan tengah hari.

Di kesempatan ini, saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan Maktab 49 iaitu Pengurusnya, Haji Aripin bin Sukiman, Ustaz Zamri dan Ustazah Che Jah selaku pembimbing ibadat haji dan semua petugas serta pembantu petugas Tabung Haji yang berjaya mengendalikan operasi musim haji tahun ini untuk para jemaah Maktab 49. Semoga kita semua beroleh haji yang mabrur.

                                                  
















Comments