MRCP : SATU PERJUANGAN YANG PANJANG

Tarikh 20 Jun 2022 adalah tarikh saya menerima email yang menyatakan saya telah lulus peperiksaan akhir klinikal Membership Royal College of Physicians (MRCP) of Ireland. Yang istimewanya, ketika membaca email tersebut, saya sebenarnya baru pulang solat Isyak dari Masjidil Haram di hotel penginapan Al-Qasr Janadriyah, Mekah Al-Mukarammah.

Perjuangan saya untuk menjadi seorang pakar perubatan dalaman (physician) dalam bidang Perubatan Dalaman (Internal Medicine) telah bermula pada tahun 2008 apabila saya bertukar dari tempat bertugas di Klinik Kesihatan Alor Janggus ke Jabatan Perubatan, Hospital Sultanah Bahiyah. Ini adalah untuk melanjutkan pengajian luar kampus peringkat sarjana dalam bidang kepakaran ini di bawah program sarjana Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Saya gagal dalam peperiksaan tahun pertama pada 2009 dan mengambil semula peperiksaan pada 2010. Walaupun lulus peperiksaan ulangan bertulis pada 2010, saya diminta oleh pihak fakulti untuk menyambung pengajian dalam kampus UKM sebagai persediaan menghadapi peperiksaan ulangan klinikal. Walau bagaimanapun, saya mengambil keputusan untuk berhenti daripada program sarjana ini kerana mahu memberi penumpuan sepenuhnya kepada aktiviti-aktiviti politik dan NGO dalam kawasan. Namun, saya tetap meneruskan cita-cita saya dengan mengambil pula peperiksaan MRCP (United Kingdom) atas biaya sendiri.

Peperiksaan MRCP (UK) mempunyai 3 tahap iaitu peperiksaan bertulis Part 1 dan Part 2A serta peperiksaan akhir klinikal Part 2B yang dinamakan PACES. Saya lulus Part 1 selepas tiga percubaan iaitu pada 2011 dan lulus Part 2A selepas dua percubaan pada 2013. Usaha seterusnya tergendala pada 2013 apabila saya meletakkan jawatan dalam perkhidmatan awam untuk bertanding dalam PRU13.

Kemudian, pada 2014, ketika mula bertugas di pusat perubatan swasta, barulah saya berkesempatan untuk menduduki peperiksaan akhir klinikal. Saya gagal peperiksaan ini yang diadakan di Hospital Selayang, dengan hanya satu markah. Saya tetap meneruskan usaha pada 2016 di Hospital Sungai Buloh, 2017 di Pusat Perubatan Universiti Malaya dan 2018 di Hospital Seremban tetapi masih lagi belum ada rezeki. Tempoh sah peperiksaan hanyalah 7 tahun. Jika seseorang calon itu tidak dapat lulus semua peperiksaan dalam tempoh masa tersebut, calon perlu mengulang semula peperiksaan dari Part 1.
Pada akhir 2018, saya nekad untuk mengulang semula Part 1 tetapi kali ini untuk peperiksaan MRCP (Ireland) pula. Walaupun perlu bermula dari awal, sebenarnya kita tidak bermula ‘from scratch’ kerana ilmu yang kita pelajari sebelum ini tidaklah sia-sia. Alhamdulilah saya lulus Part 1 pada 2018 dan part 2A pada awal 2019 dengan hanya satu percubaan. Malangnya saya masih belum ada rezeki untuk peperiksaan akhir klinikal Part 2B yang saya duduki di Hospital Kuala Lumpur pada akhir 2019. Walaupun saya lulus markah keseluruhan tetapi saya gagal salah satu komponen kemahiran klinikal yang ditetapkan. Sesungguhnya ini sangat mengecewakan.

Kemudian pandemik covid-19 melanda dunia pada 2020 menyebabkan tiada peperiksaan dapat dijalankan untuk tempoh 2 tahun sehingga diadakan semula pada 2022. Tarikh 22 Mei 2022 adalah tarikh bertuah apabila akhirnya saya berjaya lulus cemerlang peperiksaan klinikal yang diadakan di Hospital Kuala Lumpur.

Sememangnya perjalanan saya menjadi seorang pakar adalah satu perjuangan yang panjang. Bermula dari tahun 2010 dan berakhir 2022 saya telah menduduki 13 kali peperiksaan MRCP yang tentunya disertakan dengan pengorbanan masa dan kewangan yang sangat besar. Ramai junior saya malah doktor-doktor pelatih saya yang sudah mencapai tahap menjadi pakar perunding perubatan dalam sub kepakaran masing-masing. Setiap kali saya menduduki peperiksaan, saya selalu menggelarkan diri saya sebagai calon warga emas (geriatric candidate) kerana calon-calon lain jauh lebih muda. Ini tidak penting kerana kita sebenarnya bersaing dengan diri kita sendiri. Kita sendiri yang menentukan garis masa kehidupan kita.

Saya yakin jika saya masih berada dalam sistem hospital kerajaan, pasti saya akan mendapat latihan klinikal yang cukup untuk membolehkan saya lulus lebih awal. Tetapi saya sendiri yang memilih untuk bergiat aktif dalam NGO dan politik serta bekerja di pusat perubatan swasta agar masa lebih fleksibel. Maka saya perlu terima cabaran dan reda berdikari dalam tempoh perjalanan yang panjang ini demi jiwa dan semangat yang sentiasa mahu berkhidmat kepada komuniti melalui gerak kerja masyarakat madani.

Terima kasih diucapkan kepada semua kawan-kawan yang sentiasa membantu, memberi dorongan, memberi nota dan tips kerana mahu melihat saya berjaya. Kunci kejayaan saya adalah sokongan yang kuat daripada ibu, isteri dan keluarga saya. Tanpa doa mereka dan izin Allah swt juga saya tidak akan ke mana.

Bagi saya, rahsia utama setiap kejayaan adalah kecekalan atau ‘Grit’. Dua komponen Grit adalah ‘passion’ dan ‘perseverance’. Tanpa kedua-dua ini, kejayaan sukar ditempa kerana untuk berjaya kita perlukan minat dan kesungguhan. Secara ringkasnya, orang Kedah kata kita kena ‘ketegaq’ demi kejayaan. Setiap kegagalan akan membina karakter yang lebih kuat. Jika mahu berjaya, kita tidak boleh berputus asa dan sentiasa ketegaq dengan matlamat kita.
Marilah kita sentiasa terus memburu kejayaan.

“The Journey is the Reward”

Dr Zaki Zamani bin Abd Rashid
MB, BCh, BAO (Ireland) MRCP (Ireland)











Comments