PASUKAN PERUBATAN MAKTAB 49 PASUKAN TERBAIK

Syukur saya telah selesai mengerjakan ibadah haji. Ibadah haji saya dan isteri di Mekah pada musim haji 1443H/2022M turut membolehkan saya dan isteri terlibat dengan Pasukan Perubatan Klinik Maktab 49 sebagai Sahabat Medik. Kepakaran saya dan isteri dalam bidang perubatan sedikit sebanyak telah dapat kami curahkan dalam membantu meringankan beban tugas para petugas perubatan dan merawat para jemaah haji yang mengalami masalah kesihatan. Selain saya dan isteri, dua individu yang menjadi sahabat medik adalah Hajjah Dr Wan Nadiah yang merupakan Pegawai Perubatan, Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah dan Hajjah Hanee Fakhrurazi, Pegawai Dietitik Hospital Kulim.

Ucapan setinggi-tinggi terima kasih disampaikan kepada Dr Noraini dan Dr Qaiyum selaku Pakar Perubatan Keluarga dan Pegawai Perubatan Maktab serta semua paramedik Klinik Maktab 49 iaitu MA Firdaus, MA Fazil, MA Arif, SN Suhaili, SN Sabrina, SN Hashimah dan Pembantu Petugas Haji Masri yang sudi memberi ruang kepada kami sebagai Sahabat Medik Maktab 49 untuk turut sama membantu perkhidmatan kesihatan terutamanya ketika di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Ini merupakan satu peluang dan pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana beribadah sambil berkhidmat (dengan berpakaian ihram) adalah satu cabaran baharu buat kami. Tambahan pula, dengan cuaca yang panas yang suhunya hampir 50 C dan perlu melayan pelbagai karenah pesakit adalah satu ujian besar bagi seseorang petugas perubatan dalam memberikan rawatan yang terbaik. Ada beberapa orang jemaah pesakit kritikal yang telah berjaya kami selamatkan nyawa mereka atas tindakan pantas sebagai satu pasukan. Di sini, saya dapat melihat banyak keajaiban berlaku yang jarang dijumpai dalam dunia perubatan.

Peranan kami yang telah berjaya dilaksanakan adalah memastikan perjalanan yang selamat bagi jemaah pesakit kronik yang berisiko tinggi ketika di Masyair, memastikan kesihatan jemaah sentiasa terjaga dengan memberi khidmat nasihat perubatan dan yang paling penting adalah merawat kes-kes di klinik dari sekecil-kecil kes kaki melecet sehinggalah kes kritikal seperti fluid overload, heat exhaustion/stroke dan acute asthmatic attack. Alhamdulilah semua jemaah telah berjaya melaksanakan ibadah haji dan semoga pulang dengan kemabruran.

Penglibatan dengan Pasukan Petugas Perubatan Haji adalah satu peluang pembelajaran yang tidak dapat diperoleh di mana-mana. Sebenarnya saya pernah memohon untuk menjadi petugas perubatan pada musim haji 2006 tetapi belum ada rezeki pada masa itu. Mungkin niat saya untuk merasai pengalaman sebagai petugas perubatan (walaupun dengan sumbangan kecil) telah termakbul pada musim haji tahun ini.

Sesungguhnya, kami amat terharu di atas sambutan dan penerimaan sebagai sebahagian daripada keluarga klinik. Saya berharap persahabatan yang terjalin antara kami sahabat medik dan petugas perubatan di klinik ini akan berkekalan selepas pulang ke Malaysia. Semoga segala pengalaman ketika bertugas akan menjadi kenangan manis bersama.
























                  










Comments