PERSEDIAAN OPERASI MASYAIR

7 Julai 2022

Sepanjang minggu lepas, kami Sahabat Maktab 49 agak sibuk dalam membantu petugas-petugas Tabung Haji dalam menguruskan jemaah haji membuat persediaan ke Masyair. Masyair ialah nama yang diberi untuk hari-hari kemuncak ibadah haji iaitu meliputi ibadah wukuf di Arafah, mabit (bermalam) di Muzdalifah dan melontar jamrah di Mina.

Antara tugas penting kami adalah memasukkan batu-batu ke dalam uncang untuk kegunaan para jemaah haji melontar jamrah nanti. Di samping itu, kami juga perlu menguruskan penghantaran gelang nama kepada setiap jemaah di setiap bilik hotel. Gelang nama ini mempunyai kod QR dan pemakaiannya diwajibkan oleh Kerajaan Arab Saudi bagi membolehkan jemaah dibenarkan memasuki Arafah ketika ibadah wukuf nanti. Kad Tashriq juga diberikan kepada setiap jemaah dari setiap negara sebagai dokumen pengenalan diri jemaah haji tahun ini.

Sebagai persediaan terakhir sebelum ke Arafah, saya dan isteri sebagai Sahabat Medik Maktab 49 turut melawat pesakit-pesakit yang akan menaiki bas khas risiko tinggi untuk menunaikan ibadah wukuf.

Taklimat diberikan kepada pesakit dan peneman (selalunya pasangan atau ahli keluarga) mereka berkenaan pergerakan ke Arafah, Muzdalifah dan seterusnya Mina bagi mengurangkan risiko komplikasi kesihatan demi menunaikan ibadah haji dengan sempurna.

Semoga urusan kami, jemaah Maktab 49 dan semua jemaah haji Malaysia dipermudahkan ketika di Masyair nanti. Insya-Allah.

                                     
















Comments