HARI SEDIH UMNO DAN MALAYSIA

Tarikh 23 Ogos 2022 adalah hari yang sangat menyedihkan bagi Malaysia dan UMNO. Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita apabila seorang bekas Presiden UMNO dan bekas Perdana Menteri dipenjarakan.

Saya tidak berniat untuk mengulas tentang keputusan kehakiman walau bagaimanapun saya agak terkilan apabila beliau tidak mendapat peluang yang secukupnya untuk membela diri dengan menggunakan bukti-bukti tambahan baharu yang terdedah setahun dua kebelakangan ini. Tambahan pula ramai juga pihak-pihak berkaitan yang tidak ditampilkan untuk menjadi saksi bagi membongkar segala yang terjadi. Kita ibarat seperti menyaksikan sebuah filem yang jalan ceritanya masih tergantung dan belum ada penamat.

Namun apa yang lebih mengecewakan saya adalah respon setengah-setengah daripada kita, tidak kiralah walaupun sememangnya menjadi seteru politik, tidak seharusnya sampai mengamalkan sifat ‘schadenfreude’.

Istilah ‘schadenfreude’ ini berasal dari Bahasa Jerman dan menurut Oxford Dictionary ia bermaksud ‘pleasure derived by someone from another person's misfortune’ atau dalam Bahasa Malaysianya bermaksud perasaan kesenangan atau keseronokan yang terhasil daripada kesusahan atau kesengsaraan orang lain.

Apa tiada langsungkah jasa beliau sepanjang berkhidmat sebagai Perdana Menteri malah sebagai pemimpin negara yang pernah menyandang pelbagai jawatan yang bertanggungjawab menggubal dasar dan membuat keputusan-keputusan penting demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat? Sesunggguhnya fenomena ‘schadenfreude’ ini tidak dianjurkan oleh agama malah bukanlah budaya kita. Walaupun politik itu kotor, tidak perlulah kita kotorkan ia lagi dengan sifat ini. Sebagai rakyat dan insan dalam dunia yang bertamadun, kita wajar bertindak dengan lebih terhormat dan beradab serta tahu mengenang budi.

Sebenarnya tiada kata yang dapat menggambarkan kesedihan saya mengenangkan nasib yang terjadi kepada seorang bekas Perdana Menteri kita. Hanyalah doa yang mampu dikirimkan agar Dato’ Seri Najib Razak sentiasa dipermudahkan segala urusan dan semoga beliau dan keluarga sentiasa dikurniakan kesabaran dan dirahmati Allah swt. Semoga kebenaran akan tetap terbongkar di penghujung jalan cerita.



Comments