KISAH 6 BERADIK YANG CEKAL

Pada 29 November 2002 juga, saya bersama JKM turut melawat 6 beradik di Pantai Johor yang ibu bapa mereka telah dihantar menjalani rawatan pemulihan di Pusat Pemulihan Narkotik (Puspen) selepas ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan AADK bulan lepas. Kes ibu bapa mereka termasuk dalam kes yang dibincangkan dalam persidangan kes yang saya pengerusikan antara JKM dan AADK yang memerlukan tindakan segera.

6 beradik ini terdiri daripada seorang lelaki berumur 16 tahun merupakan OKU yang mempunyai masalah pembelajaran, dan 5 perempuan yang berumur antara 4 hingga 18 tahun. Mereka enggan dipisahkan untuk diletakkan di rumah penjagaan JKM dan sanggup saling menjaga sesama sendiri sehingga ibu bapa mereka dibebaskan. Walau bagaimanapun, nenek mereka yang tinggal berdekatan akan memantau keadaan mereka dan mengasuh adik bongsu mereka ketika adik-beradik lain pergi bekerja dan bersekolah.

Sebak dan kagum saya melihat bagaimana berdikarinya mereka semua. Mereka saling menyayangi satu sama lain dan amat mengambil berat kebajikan masing-masing kerana ibu bapa mereka sudah lama tidak mengambil kisah tentang mereka sejak terlibat dengan dadah.

Pihak JKM akan memberi bantuan bulanan untuk keluarga ini sehingga ibu bapa mereka dibebaskan. Saya mengucapkan terima kasih juga kepada pihak sekolah mereka yang sentiasa prihatin sehingga ada guru yang sanggup membantu membayar bil-bil rumah mereka.

Saya bersama Pasukan Pelindung Kanak-kanak JKM menyampaikan sumbangan wang tunai untuk perbelanjaan adik-beradik ini. Insya Allah ini bukan lawatan terakhir kami ke sini. Kami akan terus memantau keadaan mereka bagi memastikan mereka tidak tercicir pembelajaran terutamanya kakak kedua yang bakal mengambil SPM pada tahun hadapan. Semoga Allah swt melindungi 6 beradik ini dan memberikan sinar masa hadapan yang cemerlang buat mereka.



Comments