BALIK KAMPUNG GALWAY

Pada 12 Disember 2022, saya berkesempatan singgah di Bandar Galway yang pernah menjadi kampung halaman saya selama 6 tahun ketika menimba ilmu perubatan. Galway merupakan sebuah bandar pelabuhan kecil yang terletak di sebelah barat kepulauan Ireland, jaraknya hampir 200km dari ibu kota Dublin dan mempunyai populasi lebih kurang 80 ribu orang. Kedudukan geografinya agak seiras dengan Kuala Kedah.

Saya dan isteri bersiar-siar di pusat bandar Galway iaitu di Eyre Square yang sedang meriah menganjurkan Christmas Market. Kami juga makan tengah hari di kedai kegemaran fish and chips saya di sini yang masih beroperasi sejak 1902 iaitu Restoran McDonagh. Kemudian saya singgah bergambar kenangan di Eason Bookstore, kedai buku kesukaan saya dan membeli cenderahati di Shop Street.

Saya juga tidak melepaskan peluang untuk melawat hospital universiti dan sekolah perubatan saya yang sebelum ini dikenali sebagai National University of Ireland Galway dan telah dijenamakan semula baru-baru ini menjadi University of Galway. Saya lihat banyak bangunan baharu yang telah dibina. Selain itu saya juga melawat rumah sewa terakhir saya di sini di Shantalla Road.

Tahun ini genap 20 tahun saya meninggalkan Galway iaitu sejak saya bergraduasi pada tahun 2002. Saya datang ke Galway pada tahun 1996 dengan membawa harapan rakyat Malaysia yang menanggung kos pembelajaran saya untuk menjadi seorang doktor. Asal-usul saya adalah daripada keluarga nelayan tradisi dan peluang mendapat penajaan biasiswa JPA untuk menjadi doktor perubatan membuatkan saya sentiasa rasa terhutang budi dan rasanya masih belum cukup terbayar kepada rakyat di atas manfaat yang telah saya terima selama ini.

Sepanjang tempoh 6 tahun di sini juga bukan sekadar melatih saya menjadi doktor tetapi juga banyak mematangkan saya untuk berusaha menjadi manusia berguna kepada masyarakat serta telah mengajar saya erti persahabatan, perjuangan dan ikhtiar hidup. Insya Allah, kalau ada rezeki, saya akan datang lagi ke Galway untuk mengimbau memori lama yang indah.

                    



































Comments