MAJLIS GRADUASI MRCP IRELAND

Tarikh 14 Disember 2022 adalah satu tarikh yang bersejarah kerana telah berlangsung majlis graduasi Membership Royal College of Physicians of Ireland (MRCP) saya. Ini adalah tujuan utama keberadaan saya di Dublin sejak minggu lepas iaitu untuk menghadiri majlis graduasi ini.

Majlis graduasi ini disempurnakan oleh Professor Mary Horgan, iaitu seorang Pakar Perunding Perubatan Penyakit Berjangkit dan merupakan wanita pertama yang dilantik menjadi Presiden Royal College of Physicians of Ireland sejak penubuhannnya pada tahun 1654. Memandangkan MRCP ini adalah satu peperiksaan bertaraf antarabangsa, graduan yang hadir bukan sahaja dari Ireland malah dari seluruh dunia termasuk negara-negara Eropah, Asia Barat dan Asia Tenggara seperti saya.

Kejayaan menerima ijazah sarjana kepakaran (Perubatan Dalaman) MRCP ini adalah satu perjuangan yang lama yang telah saya tempuhi. Ia bukan bermula 2-3 tahun kebelakangan ini tetapi sejak saya meletakkan jawatan dalam perkhidmatan awam untuk terjun ke dunia politik lebih 10 tahun lalu. Banyak pengorbanan dari segi kewangan, masa dan tenaga telah saya lalui sebelum dapat mengecapi saat manis di Dewan Corrigan, Royal College of Physicians of Ireland di Kildare Street, Dublin. Tambahan pula dengan kekangan pandemik menyebabkan peperiksaan akhir tertangguh 3 tahun dan kesukaran berjumpa pesakit dalam tempoh ini untuk latihan klinikal.

Syukur akhirnya saya dikurniakan kejayaan ini oleh Allah swt. Tentunya ini semua adalah berkat doa ibu, isteri, keluarga dan kawan-kawan yang sentiasa mendoakan kejayaan saya. Insya Allah, saya akan lebih komited untuk terus membantu masyarakat dalam apa saja bidang yang saya ceburi selepas ini.

Terima kasih diucapkan kepada semua yang telah menyampaikan ucapan tahniah kepada saya. Teruskanlah berjuang mengejar cita-cita dan jangan sesekali berputus asa dalam menggapai impian.

                                                                     



































Comments