MESYUARAT JKPD KOTA SETAR BIL 1/2023

Aktiviti NGO tahun 2023 dibuka dengan saya mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Daerah Kota Setar pada 3 Januari 2023. Antara yang dibincangkan adalah perancangan program untuk tahun ini termasuk penganjuran Hari Anti Dadah, lawatan OSCA Klinik Kesihatan Kuala Kedah, program keusahawanan dan hijrah ilmu untuk klien-klien AADK.

Kami juga membincangkan perkembangan 5 kes klien wanita dan nasib anak-anak mereka hasil daripada operasi bersepadu AADK bersama Pelindung Kanak-kanak JKM. Kes-kes ini telah dibincangkan dalam persidangan kes pada bulan September lalu. Untuk makluman, Daerah Kota Setar mempunyai jumlah kes klien wanita paling tinggi di Malaysia.

Alhamdulilah semua kanak-kanak ini telah berjaya diselamatkan (termasuk cucu seorang klien) dan ibu bapa mereka telah dihantar ke pusat pemulihan narkotik (Puspen) AADK. Semua kanak-kanak ini pula sama ada telah ditempatkan di rumah kanak-kanak JKM atau diberikan hak penjagaan kepada keluarga yang terdekat. Ini adalah bukti kejayaan kerja berpasukan pelbagai agensi di Daerah Kota Setar.

Turut hadir mesyuarat ini adalah Ketua Pegawai AADK Daerah Kota Setar yang juga merupakan Setiausaha JKPD. Selesai mesyuarat, saya menyampaikan surat perlantikan kepada Ahli Jawatankuasa yang hadir.

                                       









Comments