PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2022

Pada 11 Januari 2023 hingga 14 Januari 2023 saya telah menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2022 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Ini merupakan perhimpunan yang pertama kali saya hadir sebagai Pemangku Ketua UMNO Bahagian.

Bermula pada 11 Januari 2023, telah berlangsung Majlis Taklimat Presiden pada petangnya. Kemudian pada malamnya pula, saya menghadiri majlis bersama Ketua-ketua UMNO Bahagian seluruh negara di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur. Pada perjumpaan yang dihadiri oleh 126 Ketua-ketua Bahagian dan 14 lagi Ketua Bahagian tidak dapat hadir tetapi 140 orang kesemuanya telah bersetuju sebulat suara untuk menyokong usul agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang. Kami mengambil kira kepentingan mempertahankan kerajaan yang sedia ada (pertukaran Presiden boleh menyebabkan situasi politik negara yang tidak stabil) dan menjaga perpaduan parti. Di samping itu, kami juga risau dengan adanya cubaan elemen luar yang cuba mengatur corak kepimpinan parti demi merebut kuasa pemerintahan negara.

Keesokan malamnya, saya berkesempatan makan malam bersama perwakilan-perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kedah.

Pada 13 Januari 2023, selepas selesai mendengar perbahasan di Dewan Merdeka, WTCKL, pada malamnya saya menghadiri majlis makan malam bersama semua perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kedah di Kampung Baru. Pada hari terakhir perhimpunan 14 Januari 2023, saya sempat bersarapan bersama perwakilan-perwakilan Puteri UMNO Bahagian Kuala Kedah.

Usul bahawa tiada pertandingan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden telah diluluskan secara majoriti oleh para perwakilan. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua perwakilan UMNO Kuala Kedah yang menyokong usul ini. Ternyata mereka faham akan kepentingan usul ini demi menjaga survival parti untuk jangka masa panjang.

Politik tidaklah semudah yang dilihat, banyak perkara-perkara lain yang perlu diambil pertimbangan dan ia tidak bermakna kita menyekat demokrasi. Matlamat utama kita adalah memperkukuhkan parti dan teguh bersatu di belakang pucuk pimpinan bagi membina naratif perjuangan baharu tanpa meninggalkan asas-asas perjuangan ABaTa. Kita perlu sederap melangkah terutamanya bagi menghadapi 6 lagi pilihanraya negeri yang bakal diadakan pada tahun ini.

                                    





















Comments