Berita Harian 16 Mac 2023 : Calon menang perlu siapkan jentera hadapi PRN




ALOR SETAR: Pemimpin yang menang pada pemilihan parti perlu menyiapkan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Datuk Othman Aziz, berkata setiap setiap calon yang menang bertanggungjawab menyatukan kembali parti itu kerana perkara paling utama adalah memastikan kemenangan UMNO dalam pilihan raya.
Bekas Timbalan Pengerusi UMNO Kedah itu berkata, setiap perwakilan juga perlu melihat pemilihan kali ini sebagai pertembungan dalam keluarga dan calon yang kalah perlu memberi sokongan kembali kepada calon yang menang.

"Saya melihat ramai yang menawarkan diri untuk bertanding pada pemilihan kali ini, ia menunjukkan amalan demokrasi tidak pernah hilang dalam UMNO, cuma siapa yang menang perlu merapat dan menggerakkan kembali parti bagi diterima rakyat.

"Selepas pemilihan, kita berharap tidak berlaku perpecahan kerana UMNO bakal berhadapan pula PRN Kedah. Itu medan utama kita, semua ahli kena ingat pemilihan adalah pertandingan dalam keluarga sahaja," katanya kepada BH.

Pada pemilihan kali ini, Othman berhadapan persaingan empat penjuru, membabitkan Datuk Abdul Rahman Ariffin, Ahmad Azhar Abdullah dan Zamil Ibrahim.

Sementara itu, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, Dr Zaki Zamani Abd Rashid,
berkata calon yang menang, akan menentukan semua gerak kerja, jentera dan kempen UMNO bagi memastikan kemenangan parti pada pilihan raya.

"Siapa sahaja calon yang dipilih, secara langsung akan menjadi kepemimpinan UMNO yang bakal menguruskan jentera dan kempen.

"Disebabkan itu, saya katakan, niat kita pada pemilihan ini bukan untuk menangkan diri sendiri, tetapi untuk memenangkan parti. Ia perlu jadi fokus utama setiap calon, termasuk saya," katanya.

Membawa tema 'Wajah Baharu Kuala Kedah', Dr Zaki berkata, pemilihan UMNO juga menjadi peluang kepada pemimpin pelapis menonjolkan bakat terutamanya dalam usaha mendekati kelompok pengundi muda.

"UMNO sebenarnya tidak boleh lagi bergerak secara tradisional, dengan kaedah kempen cara lama dalam berhadapan lawan. Kita memerlukan imej segar dan teknik baharu dalam usaha mendekati pengundi anak muda.

"Sebagai contoh, anak muda di Kuala Kedah mahukan perubahan di kawasan ini. Jadi, kita perlu ada perancangan jangka panjang ke mana kita mampu membawa pembangunan baharu di daerah ini," katanya.

Calon Ketua UMNO Bahagian Sik, Mahadzir Abdul Hamid, berkata pemimpin yang menang pemilihan perlu melakukan pembetulan dalam parti selepas berlaku penolakan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

"Rakyat bukan lagi mahu pembangunan kerana sudah banyak pembangunan yang dibuat UMNO dahulu. Rakyat mahu melihat adakah pemimpin UMNO sanggup berubah mengikut apa yang mereka harapkan.

"Jika kita masih menyokong pemimpin yang tidak mampu buat kerja, maka parti akan ada masalah. Kita mahukan pemimpin yang berani bersuara, mampu membawa isu rakyat dan dapat membawa perubahan," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/03/1077792/calon-menang-perlu-siapkan-jentera-hadapi-prn

Comments