Berita Harian 8 Mac 2023 : Bekas MB Kedah Syed Razak meninggal dunia akibat masalah kesihatan

ALOR SETAR: Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain, 79, meninggal dunia akibat masalah kesihatan di kediaman keluarganya di Sungai Petani dekat sini, hari ini. Menteri Besar Kedah kelapan itu dilaporkan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11 pagi tadi, di samping keluarga.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, Dr Zaki Zamani Abd Rashid yang mengesahkan perkara itu berkata, tahap kesihatan Syed Razak mula merosot sejak tiga hari lalu.
"Saya dimaklumkan ahli keluarga Allahyarham bahawa beliau meninggal dunia kira-kira jam 11 pagi tadi akibat masalah kesihatan."

"Bagi pihak UMNO Kuala Kedah, kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham yang pernah menjadi Ketua UMNO Bahagian di sini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Syed Razak adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan yang kemudian menjadi Menteri Besar Kedah bermula 1999 hingga 2005.

Beliau meletak jawatan sebagai Menteri Besar ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, akibat masalah kesihatan dan digantikan bekas Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid.





Comments