KISAH PENDERAAN MENTAL SEORANG ISTERI

Pada pagi 20 Mac 2023, saya menerima panggilan daripada Dr Thahirah, Pakar Psikiatri yang memaklumkan tentang satu kes pesakit wanita yang dimasukkan dalam wad psikiatri kerana cubaan bunuh diri akibat kemurungan. Pesakit ini telah didera secara mental oleh suaminya yang disyaki seorang penagih syabu.

Selepas selesai menghadiri program Peringatan Hari Polis, saya terus berjumpa Ketua Pegawai AADK Daerah yang baharu, Puan Nurhafizah Md Desa untuk berbincang tentang kes ini. Beliau bersetuju untuk mengarahkan Unit Penguatkuasaan beliau untuk membuat risikan. Pada masa yang sama, saya mendapat maklumbalas daripada En Sabri Saad, Pegawai Pelindung Kanak-kanak JKM tentang keadaan 4 orang anak pesakit selepas dilawati oleh pihak JKM. Walaupun tiada bukti penderaan fizikal, tetapi kemungkinan berlakunya penderaan mental seperti nasib yang menimpa ibu mereka tidak dapat dinafikan.

Pada malamnya, saya dimaklumkan pihak AADK telah berjaya menahan dan mereman bapa tersebut dan dia telah didapati positif methamphetamine. Anak-anak yang tinggal bersamanya telah diuruskan oleh pihak JKM untuk diletakkan di bawah jagaan datuk dan nenek mereka di Perlis. Pihak sekolah juga telah dimaklumkan keberadaan mereka di Perlis sementara ibu mereka menerima rawatan di wad hospital.

Alhamdulilah, rangkaian pelbagai agensi di Kota Setar telah memungkinkan tindakan pantas dapat dibuat bagi menangani kes ini. Bermula dengan tindakan seorang Ahli Lembaga Pelawat Psikiatri Hospital membantu pesakit ini mendapatkan rawatan, kemudian Pakar Psikiatri merujuk kes ini untuk tindakan segera pihak AADK dan tindakan menyelamat oleh Pasukan Pelindung Kanak-kanak JKM.

Saya ucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang menunjukkan kerjasama baik dalam menangani kes ini. Saya tumpang berbangga walaupun sekadar menjadi pemudahcara. Rangkaian kerjasama ini adalah petanda baik kes-kes penagihan dadah yang menyebabkan wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa di Kota Setar, akan pasti mendapat pembelaan.



Comments