KISAH PENGABAIAN DAN PENGANIAYAAN SEKSUAL KANAK-KANAK

Pada 27 Mac 2023 bersamaan 5 Ramadan 1444H, saya bersama beberapa orang Pegawai Pelindung Kanak-kanak JKM Daerah Kota Setar dan anggota Balai Polis Simpang Empat telah menjalankan satu operasi menyelamat 4 orang kanak-kanak yang terabai di sebuah kampung di Simpang Empat, Alor Setar.

4 orang kanak-kanak ini terdiri daripada 3 orang perempuan yang berumur 12, 14 dan 15 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun. Kanak-kanak perempuan yang berumur 12 tahun dan 15 tahun merupakan adik-beradik yatim piatu yang dijaga oleh abang bujang mereka, Iqbal (bukan nama sebenar) yang berumur 22 tahun di rumah tersebut. Manakala yang berumur 14 dan 11 tahun pula ditinggalkan ibu mereka (yang tinggal bersama suami baharu di Sungai Petani) kepada adiknya Iqbal ini di rumah yang sama.

Segalanya bermula apabila saya menerima aduan daripada pihak sekolah pada bulan lalu tentang salah seorang kanak-kanak ini yang selalu ponteng sekolah dan dikhuatiri terlibat dengan gejala sosial berdasarkan perkongsian aktiviti jeliknya di media sosial. Lawatan mengejut kami mendapati rumah tersebut dalam keadaan daif dan kotor tanpa bekalan elektrik. Kanak-kanak tersebut semua masih tidur walaupun pada hari persekolahan. Ternyata Iqbal tidak berkemampuan menjaga semua kanak-kanak ini, tambahan pula dia terpaksa bekerja hingga lewat malam di sebuah kedai makan di Alor Setar.

Setelah semua mereka ini dibawa ke Balai Polis Simpang Empat, ketiga-ketiga kanak-kanak perempuan ini mengaku pernah terlanjur dengan teman lelaki masing-masing (yang lebih tua daripada mereka) beberapa kali dan yang terakhir adalah pada malam sebelumnya. Ini sudah menjadi kes penganiayaan seksual kanak-kanak dan mereka semua telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar untuk memberi keterangan untuk siasatan lanjut. Selepas itu, mereka dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk pemeriksaan kesihatan dan akan dihantar ke Rumah Kanak-kanak selepas selesai siasatan pihak Polis. Kanak-kanak lelaki itu pula telah diserahkan semula kepada ibunya yang datang dari Sungai Petani.

Apa yang berlaku adalah sesuatu yang sangat menyedihkan. Walau bagaimanapun, pihak kami memuji keprihatinan pihak sekolah dan masyarakat setempat yang mengambil berat dan membuat aduan tentang kanak-kanak yang terbiar tanpa pengawasan yang sewajarnya oleh orang dewasa. Apa yang berlaku adalah kesalahan kita sendiri sebagai orang dewasa yang gagal melindungi anak-anak kita daripada gejala sosial dan keruntuhan akhlak.

Comments