PERKHIDMATAN AWAM DALAM KENANGAN

Tarikh 16 April 2023 bermakna telah genap 10 tahun saya meninggalkan perkhidmatan awam. Saya mula bertugas sebagai pegawai perubatan siswazah di Hospital Alor Setar dan melapor diri di Jabatan Pembedahan pada 22 Ogos 2003 selepas tamat pengajian ijazah perubatan dari University of Galway, Republic of Ireland.

Selepas menamatkan latihan sebagai houseman pada tahun 2005, saya ditukarkan ke Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar. Saya bertugas sebagai Pegawai Perubatan dan Kesihatan di Klinik Kesihatan Kota Sarang Semut dan kemudiannya di Klinik Kesihatan Alor Janggus sehingga tahun 2008.

Pada Mac 2008, saya kembali ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk menyertai program sarjana kepakaran Perubatan Dalaman untuk pengajian luar kampus Universiti Kebangsaan Malaysia. Walau bagaimanapun saya berhenti daripada program pengajian ini kerana mahu menumpukan perhatian kepada bidang politik. Pada masa yang sama, saya juga menduduki peperiksaan kepakaran luar negara Membership Royal College of Physicians (MRCP) yang saya hanya baru lulus tahun 2022 lalu.

Akhirnya setelah nama saya diumumkan dan saya menerima watikah bertanding PRU13 sebagai calon Barisan Nasional untuk Parlimen Kuala Kedah, saya telah menghantar surat perletakan jawatan bernotiskan 24 jam (beserta pembayaran kembali sebulan gaji kepada Kerajaan) dan mengetip kad perakam waktu buat kali terakhir pada 16 April 2013.

Walaupun masih belum ada rezeki dalam bidang politik, dan masih rindu untuk berkhidmat di hospital kerajaan, saya tetap bersyukur dengan keadaan saya sekarang. Dengan kesempatan dan kebolehan yang dikurniakan, saya masih boleh terus memberi khidmat dan menawarkan kepimpinan kepada masyarakat.


Comments