KISAH KANAK-KANAK PENGEDAR


Pada 9 Ogos 2023, saya hadir melaksanakan tugasan sebagai Penasihat Mahkamah Bagi Kanak-Kanak di Kompleks Mahkamah Alor Setar.

Sementara menunggu kes kanak-kanak dibicarakan, saya dapati setiap kes orang dewasa yang dibicarakan di hadapan Majistret sebelum itu adalah kes-kes yang berkaitan dadah. Kebanyakan kes ini melibatkan golongan yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 35 tahun, termasuk dua orang wanita. Mereka ini sama ada dijatuhkan hukuman denda dan pengawasan, atau dihantar menjalani pemulihan d Puspen, dan ada juga yang dipenjara. Ada juga kes yang ditangguhkan bagi menunggu keputusan urin dadah daripada Jabatan Kimia.

Untuk kes kanak-kanak pula, seorang remaja berumur 16 tahun dihadapkan di atas pertuduhan memiliki dadah jenis ketamine yang disyaki untuk dijual. Jenayah ini dilakukan ketika dia berumur 15 tahun, pada tahun lepas. Remaja ini tercicir sekolah ketika di tingkatan tiga dan kehilangan bapanya 7 tahun lalu. Dia bernasib baik kerana masih di bawah umur kanak-kanak dan tidak boleh dihukum seperti orang dewasa. Memandangkan dia tinggal bersama ibunya, seorang ibu tunggal yang hanya bekerja di kedai makan, dan faktor ketiadaan bapa sebagai ‘role model’ perlu diambil kira dalam mencadangkan perintah hukuman. Saya mencadangkan dia dikenakan bon jaminan berkelakuan baik, diletakkan di bawah pengawasan AADK selama setahun dan diwajibkan menghadiri bengkel interaktif JKM bersama ibunya selama setahun. Puan Majistret bersetuju dengan cadangan saya.

Apabila ada kanak-kanak berumur 15 tahun yang sudah berani mengedar dadah, di manakah silapnya masyarakat kita?



Comments