PERSAHABATAN 20 TAHUN

Hari ini genap 20 tahun saya mula berkenalan dan berkawan dengan isteri saya. Tarikh 23 Ogos ini senang saya ingati kerana ia adalah hari pertama saya melapor diri sebagai houseman (doktor pelatih) di Hospital Alor Setar (hospital lama) pada tahun 2003.

Pada awal pagi, selepas melapor diri di Pejabat Pengarah Hospital, saya telah diletakkan untuk bertugas di Jabatan Pembedahan sebagai posting pertama. Kemudiannya saya ke klinik pembedahan (SOPD) dan berjumpa dengan Miss Hasliza, Pakar Bedah. Beliau meminta saya mencari seorang senior houseman bernama Mahani di wad K1 untuk memberi orientasi kepada saya dan menugaskan saya di wad pembedahan yang sesuai. Wad F3 merupakan wad pertama saya bertugas di bawah seliaan Pegawai Perubatan (MO) Dr Abu Yamin (sekarang Dato’) yang kini merupakan pakar bedah jantung yang tersohor. Teruk juga saya kena ‘buli’ di wad tersebut. Tetapi perkara itulah yang menjadikan kita seorang doktor yang kompeten.

Sebenarnya saya telah bergraduasi lebih awal daripada Mahani ini tetapi disebabkan saya agak sibuk dengan persatuan belia kampung yang saya baru tubuhkan menyebabkan saya melapor diri agak lambat di JPA selepas pulang belajar dari Ireland. Itupun selepas sering mendengar leteran mak saya yang mengingatkan saya untuk menjadi seorang doktor. Maka jadilah Mahani 3 bulan lebih senior daripada saya.

Sebagai graduan perubatan luar negara, sememangnya kemahiran asas klinikal saya (seperti mengambil darah, memasukkan branula dan tiub kencing pesakit) agak kurang berbanding graduan lulusan universiti tempatan seperti Mahani. Beliau pernah menyatakan beliau memandang rendah terhadap saya, lebih-lebih lagi saya agak ‘slow’ dalam mengambil riwayat pesakit (clerk history). Tentulah lambat, saya tak pernah clerking dalam Bahasa Malaysia sebelum ini.

Walau bagaimanapun, saya tidak kisah itu semua kerana saya sudah mula menaruh hati kepada gadis berwajah kacukan Cina ini (mulanya saya sangka dia mualaf). Antaranya sebab saya lihat kemahiran sosial dia sangat hebat. Dia mampu dapatkan temujanji segera CT scan atau Ultrasound dengan sangat mudah. Kalau perlu rujuk jabatan lain pun sangat cepat. PR beliau sangat mengagumkan dengan bos dan rakan sekerja berbanding saya yang tak kenal sesiapa di hospital ini. Tambahan pula perwatakan saya sebenarnya adalah agak pendiam dan lambat mesra dengan orang yang belum saya kenali. Agak pelik kan orang macam saya boleh masuk politik?

Kami semakin rapat selepas beliau memasuki posting ketiga di Jabatan Perubatan. Saya ketika itu, walaupun baru posting kedua tetapi sudah dikira senior houseman dalam jabatan itu. Dia pula yang banyak kena belajar daripada saya tentang kes-kes perubatan dan prosedur-prosedur perubatan seperti lumbar puncture dan central venous line insertion. Saya memang minat dengan bidang Perubatan (Internal Medicine) ini sejak dari saat ini. Ketika bertugas di wad perubatanlah kami selalu bersarapan bersama (selepas ward round) dan mula mengenali hati budi masing-masing. Saya sanggup on-call dua hari berturut-turut sebab menggantikan beliau yang tidak sihat demi memenangi hati gadis Pulau Pinang ini. Saya on-call hari Jumaat, ganti on-call beliau hari Sabtu, lepas itu sambung kerja hari Ahad (tak payah report Pejabat Buruh, ini sukarela). Sebelum balik, saya akan singgah di wad beliau dahulu untuk bantu habiskan kerja di sana. Jika ada pesakit yang collapse, saya akan bantu resuscitate, ada yang sehingga sampai jam 8 malam. Inilah antara punca saya selalu balik lewat walaupun bukan pada hari on-call. Mungkin juga ini punca beliau jatuh hati dengan saya.

Alhamdulilah kami bertunang setahun kemudian pada September 2004 dan bernikah pada Januari 2005. Kami selalu berkongsi tempoh housemanship adalah kenangan manis yang takkan dilupakan dalam hidup kami. Mungkin kerana kami berada dalam alam percintaan ketika itu. Ataupun memang sudah menjadi ‘passion’ kami untuk berkhidmat dan membantu orang tanpa mengira betapa besar kesukaran dan cabaran yang dihadapi.

Saya bersyukur, selepas 20 tahun, walaupun sudah menjadi suami isteri, kami sentiasa berkawan baik seperti zaman housemanship. Kuncinya adalah perlu sentiasa saling bertolak ansur dan sanggup berkorban demi cita-cita bersama. Susah senang sentiasa diharungi bersama. Walaupun kami rasa macam sekejap, tetapi sebenarnya 20 tahun adalah satu jangkamasa yang lama. Kesetiaan itu mahal harganya, tidak ternilai untuk dibandingkan dengan harga sebuah Tesla.



Comments