TAKLIMAT MAGIC MUSHROOM

Pada 13 September 2023, sebelum dimulakan mesyuarat bulanan Jawatankuasa Kesihatan Mental Daerah untuk bulan ini, kami telah menjemput Dr Omar bin Ali, Pakar Perunding Psikiatri (Perubatan Penagihan) untuk memberi taklimat tentang penggunaan magic mushroom dari sudut perubatan penagihan. Saya membangkitkan isu ini dalam mesyuarat yang lepas dan mencadangkan sesi ini diadakan sebagai pencerahan kepada ahli-ahli mesyuarat yang terdiri dari pelbagai jabatan dan agensi.

Sebenarnya isu penggunaan magic mushroom melalui vape ini sedang menjadi sesuatu yang merisaukan di Daerah Kota Setar kerana boleh menyebabkan ketagihan, simptom klinikal yang serius dan halusinasi. Ia didapati semakin berleluasa di kalangan remaja sekolah. Saya dimaklumkan oleh seorang pelajar tingkatan dua di Kuala Kedah, dia dan kawan-kawan berkongsi 8 titik perisa magic mushroom ini yang berharga RM30. Di Pokok Sena pula, ada remaja memviralkan dirinya di media sosial sambil menghisap vape magic mushroom.

Apa yang lebih merisaukan adalah, jika kandungan perisa vape ini bukan sekadar nikotin dan mushroom, tetapi mengandungi dadah sintetik baharu yang menyebabkan ketagihan dan psikosis yang lebih serius. Jurnal-jurnal perubatan luar negara telah banyak melaporkan kesan-kesan buruk jangka masa panjang vape kepada kesihatan. Selagi industri vape di negara kita tidak diregulasi dengan sewajarnya, kita akan menyaksikan gejala ini akan semakin merosakkan anak-anak muda kita.









Comments