SAMBUTAN HARI KANAK-KANAK SEDUNIA 2023 DAERAH KOTA SETAR

Pada 30 November 2023, buat julung-julung kalinya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kota Setar dengan kerjasama Jaringan Prihatin Kanak-kanak Kota Setar telah mengadakan Program Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia 2023 Peringkat Daerah Kota Setar di Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara, Anak Bukit.

Program dimeriahkan dengan penyertaan hampir 400 orang kanak-kanak dari sekolah-sekolah sekitar Alor Setar. Antara aktiviti yang dijalankan adalah senaman poco-poco, aktiviti explorasi sains, tinkering station dan persembahan band Kolej Sultan Abdul Hamid. Selain itu pemeriksaan kesihatan, pameran farmasi, AADK dan Malaysians Against Pornography (MAP) turut diadakan.
Saya bersama Pengerusi Pasukan Kebajikan Kanak-kanak Daerah iaitu Haji Nawawi pula mengendalikan slot jalinan kasih bersama ibu bapa yang hadir di Dewan Teater Sains. Kami memberi pengisian dan pendedahan berkaitan usaha-usaha yang boleh dilakukan demi pengukuhan institusi kekeluargaan dan komuniti.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Puan Rozita binti Ibrahim, Ketua Penolong Pengarah Unit Kanak-kanak JKM Kedah. Majlis berlangsung dengan meriah sekali dengan persembahan pasukan bicara berirama oleh SK Titi Gajah (Johan Negeri Kedah) dan persembahan nyanyian Adik Putri Azalia (Johan Bintang Kecil). Majlis turut menyampaikan Anugerah Khas Kanak-kanak kepada seorang kanak-kanak OKU pendengaran iaitu Adik Muhammad Haziq bin Jasman yang cemerlang dalam bidang akademik dan sukan.

Saya juga menerima Anugerah Khas Pegawai JKM Daerah Kota Setar dalam majlis ini di atas penglibatan dalam gerak kerja perlindungan dan kebajikan kanak-kanak. Terima kasih atas pengiktirafan ini.


































Comments