PROGRAM ORIENTASI KLIEN BAHARU AADK

Pada 30 Januari 2024, Program Orientasi Klien Baharu AADK Daerah Kota Setar dan Pokok Sena telah diadakan. Lebih 40 orang klien hadir melapor diri kali pertama yang terdiri daripada mereka yang baru keluar Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) atau yang menerima perintah mahkamah untuk menjalani pengawasan dan pemulihan dalam komuniti selama dua tahun. Dua pertiga daripada mereka adalah individu berumur bawah 30 tahun.

Saya bersama Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah Kota Setar turut memberi pengisian dan penerangan kepada klien dan waris/pasangan yang hadir sebagai motivasi membantu kepulihan mereka. Ada juga ibu klien yang sanggup datang walaupun berkerusi roda demi kasih sayang kepada seorang anak. Namun begitu agak mendukacitakan juga kerana jumlah kehadiran waris/pasangan tidak sampai separuh daripada yang sepatutnya. Sokongan keluarga adalah kunci utama kepulihan klien.

Selain itu, aktiviti saringan HIV dan hepatitis turut dijalankan dan dikendalikan oleh Persatuan Cahaya Harapan.








Comments