PERISTIWA 11 MAC 1994



Pada 11 Mac 2024, maka genaplah 30 tahun pemergian ayahanda saya, Haji Abd Rashid bin Chik. Pada malam 11 Mac 1994 bersamaan malam 29 Ramadan 1414H telah berlaku satu peristiwa yang paling tidak dapat dilupakan dalam hidup saya. Peristiwa ini berlaku ketika saya di Tingkatan 5 dan sedang pulang bercuti raya dari MRSM Taiping bersama rakan saya dari Sarawak iaitu Syed Ezam.

Pada malam tersebut, Allahyarham ayahanda bersama saya dan Syed Ezam sepatutnya sama-sama mengerjakan solat tarawih berjemaah di Masjid Putra Kuala Kedah. Walau bagaimanapun, Allahyarham menerima panggilan telefon daripada seorang ‘kawan’ sebelum kami bertolak ke masjid. Beliau menghantar kami ke masjid dan memberi saya duit syiling berjumlah RM1 untuk kami pulang sendiri dengan menaiki bas ke rumah kerana beliau perlu bertemu dengan seorang ‘kawan’. Tetapi saya dan Syed Ezam memutuskan untuk balik rumah dengan berjalan kaki.

Pada waktu sahur keesokannya, saya bangun bersahur melihat suasana muram keluarga dan kesedihan pada wajah ibu saya apabila dimaklumkan ayahanda saya tidak pulang ke rumah dan tidak dapat dikesan sejak malam semalam.

Hati kami semakin luluh apabila ibu saya mendapat panggilan telefon daripada pihak Polis yang meminta ibu saya hadir untuk mengecam satu mayat di Unit Forensik Hospital Alor Setar. Mayat ini telah ditemui di tandas awam Taman Rimba, Alor Setar dan dipercayai dibelasah sehingga meninggal dunia. Perkara terakhir yang tidak kami ingini telah menjadi kenyataan apabila ibu mengesahkan bahawa mayat itu adalah ayahanda saya. Kereta Honda Accord KAE 4949 beliau pula telah ditemui di sebuah ladang getah di Changlun. Kereta ini masih lagi ada di rumah kami sehingga hari ini. Tahap kesabaran ibu kami dalam menghadapi dugaan hebat ini amatlah mengagumkan.

Setelah menjadi seorang doktor, barulah saya memahami laporan post-mortem ayahanda saya iaitu punca kematiannya adalah subarachnoid haemorrhage (pendarahan otak - berlaku disebabkan hentakan kuat di belakang kepala) dan lung injury (kecederaan paru-paru).

Kejadian yang berlaku dua hari sebelum Aidilfitri ini sangat meninggalkan kesan dalam jiwa saya. Sehingga hari ini, takbir raya akan sentiasa menimbulkan perasaan sebak dalam diri saya. Beliau merupakan Bendahari Masjid Putra Kuala Kedah ketika itu. Selepas khutbah Jumaat pada minggu berikutnya, khatib yang juga imam masjid telah meminta para makmun bersedekah Al-fatihah buat Allahyarham dan seterusnya membaca hadis Rasulullah s.a.w :
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lainnya.”

Maka tidak hairanlah, pada hari pengebumian beliau, ramai datang memenuhi pekarangan rumah saya untuk menziarahi jenazah beliau. Saya turut menaiki kenderaan polis yang membawa jenazah beliau ke tanah perkuburan, dan saya amat terkejut melihat betapa penuhnya di sepanjang kiri kanan jalan dengan wajah-wajah sedih manusia yang menyaksikan perjalanan terakhir seorang patriot yang ternyata banyak jasanya kepada penduduk Kuala Kedah. Beliau bukanlah seorang wakil rakyat ataupun menteri tetapi khidmat bakti beliau kepada masyarakat telah berjaya menyentuh hati setiap orang yang mengenali beliau.

Kisah-kisah bagaimana beliau membantu ramai orang masih diceritakan sehingga hari ini kepada saya. Sayang sekali, saya hanya betul-betul mengenali ayahanda saya hanya selepas pemergiannya. Beliau yang saya kenali adalah seorang yang berwatakan garang dan saya agak takut dengannya. Apa-apa perkara saya akan bersuara melalui ibu saya. Agak terkejut apabila ramai menceritakan bahawa beliau adalah seorang yang lemah lembut dan sangat berhemah. Mungkin disebabkan sifat tegas beliau inilah kami anak-anak beliau empat beradik semuanya berjaya. Alhamdulilah.

Dalam perjuangan untuk menuntut keadilan buat Allahyarham, kami sekeluarga termasuk keluarga besar Panglima Chik tidak pernah berputus asa. Segala usaha dijalankan melalui pelbagai saluran. Saya pernah berjumpa YDH Dato’ Abas Johar, Ketua Polis Kedah ketika itu dan beliau mengumumkan PDRM menawarkan ganjaran RM10 ribu kepada sesiapa mempunyai maklumat tentang kes pembunuhan ini. Malah saya juga dibawa oleh Pak Teh saya (Haji Abd Rani Chik) selepas peperiksaan SPM untuk bertemu dengan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad kerana Allahyarham dan PM sememangnya sangat rapat. Saya masih ingat lagi, selepas bertanyakan keputusan SPM saya, PM memaklumkan kepada saya bahawa tiada ‘clue’ dalam kes ini untuk diteruskan siasatan. Saya juga pernah menulis surat kepada Peguam Negara bertanyakan tentang kes ini. Sehinggalah pada tahun 2004, telah diadakan satu inkues tentang jenayah kematian Allahyarham di Mahkamah Sesyen Alor Setar. Kami telah mengambil Mendiang Karpal Singh sebagai peguam pemerhati ketika itu. Saya sebagai orang terakhir bersama Allahyarham turut tampil memberi keterangan. Walau bagaimanapun, inkues ini tidak menghasilkan apa-apa keadilan yang kami mahukan.

Sebenarnya peristiwa ini telah banyak mengubah hidup saya. Saya menanam azam dan menjadikan ayahanda saya sebagai idola. Falsafah hidup saya mulai saat itu ialah biarlah hidup kita sentiasa dapat menggembirakan orang, dan mati kita disambut dengan kesedihan, dan bukanlah sebaliknya. Walaupun ketika kecil, saya sering mengikut beliau menghadiri program dan mesyuarat UMNO tetapi saya masih belum faham lagi perjuangan beliau pada masa itu. Sebab itulah, kini saya tidak boleh bayangkan untuk berjuang dalam parti politik selain daripada UMNO. Walaupun ramai kawan-kawan yang mengatakan saya silap masuk parti ataupun bertanding di kawasan yang tak sesuai pada PRU13 lalu. Dalam jiwa saya hanya ada UMNO dan Kuala Kedah sahaja.

Walaupun kami sudah kehabisan ruang untuk menuntut keadilan di dunia, kami tetap reda kerana yakin keadilan pasti akan tertegak di akhirat. Keyakinan inilah yang memberi kami ketenangan jiwa untuk meneruskan kehidupan. Namun begitu, kami akan terus berdoa agar kebenaran akan terbongkar kerana Allah swt sahajalah tempat bergantung harap. Kami bersyukur dengan nikmat dan rezeki yang telah dikurniakan kepada keluarga kami yang teraniaya ini. Kami sekeluarga sentiasa percaya kejadian ini berlaku adalah disebabkan konspirasi politik bukannya atas motif cemburu perniagaan. Allahyarham merupakan Bendahari UMNO Bahagian Kuala Kedah ketika itu dan sering disebut-sebut bakal calon pilihanraya PRU tahun 1995. Walau apa pun, legasi perjuangan Allahyarham akan terus hidup dalam jiwa saya dan tidak akan pernah padam selagi hayat dikandung badan.

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Al-fatihah.

Comments