PASUKAN PELINDUNGAN KANAK-KANAK DAERAH KOTA SETAR

Satu lagi amanah baharu untuk dipikul. Pada 31 Mac 2024, saya telah menerima sijil pelantikan sebagai Pengerusi Pasukan Pelindung Kanak-kanak Daerah Kota Setar bagi penggal 2024-2026 daripada Puan Siti Zaharah binti Sulaiman, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Setar.

Selepas itu, saya telah mempengerusikan mesyuarat pertama Pasukan Pelindungan Kanak-kanak (PPKK) Daerah Kota Setar bersama anggota-anggota baharu lain yang telah dilantik.
PPKK adalah ditubuhkan mengikut Seksyen 7(1) Akta Kanak-Kanak 2001 di bawah Majlis
Kebangsaan Bagi Kanak-kanak. Peranannya besar, iaitu :

1. Merancang, menyelaras dan memantau program advokasi dan pencegahan di bawah Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak

2.Menganjur program dan perkhidmatan sokongan bercorak pencegahan dan pelindungan terutama bagi kanak-kanak/keluarga teraniaya

3. Menyedia perkhidmatan bagi memenuhi keperluan kanak-kanak dan keluarga memerlukan

Keanggotaan PPKK terdiri daripada Pegawai Kanan Polis sebagai wakil Ketua Polis Daerah, Pegawai Perubatan sebagai wakil Pegawai Kesihatan Daerah dan para sukarelawan seperti saya, dan semua anggota ini adalah dilantik oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Fokus utama saya buat masa ini adalah memperkemas pengurusan kes kanak-kanak yang terkesan dan mencari satu pusat aktiviti kanak-kanak daerah yang baharu.

Insya Allah, Pasukan Pelindungan Kanak-kanak ini akan menjadi satu pasukan yang mantap demi melindungi dan menyelamatkan kanak-kanak daripada penderaan dan pengabaian di daerah ini. Satu tanggungjawab yang sangat besar dan berat sebenarnya. Semoga kami sentiasa dipermudahkan dalam melaksanakan amanah ini.










Comments