KETENTUAN ILAHI

Pada hari Jumaat bertarikh 13 Jun 2025, jam 5.48 pagi saya telah kehilangan seorang kakak yang sangat disayangi. Kak Marlis merupakan kakak saya yang kedua daripada 4 orang adik-beradik. Jenazah beliau telah selamat dikebumikan pada petangnya selepas solat Jumaat di sebelah pusara ayahanda kami di Kuala Kedah.

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua ahli keluarga, sanak saudara, sahabat handai dan pihak Jabatan Imigresen Negeri Perlis yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada beliau. Beliau adalah Timbalan Ketua Imigresen UTC Perlis. Beliau merupakan seorang kakak, ibu saudara, sahabat dan pegawai yang sangat berhemah tinggi, mesra dan disayangi oleh ramai orang.

Saya juga ingin menyampaikan ucapan penghargaan kepada semua staf Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar terutamanya yang bertugas di wad ICU iaitu dari Jabatan Anaestesiologi, Pembedahan, Perubatan Nefrologi dan Ginekologi yang melibatkan semua pakar, pegawai perubatan dan jururawat yang menjaga dan merawat beliau sepanjang seminggu beliau berada di wad tersebut. Kualiti perkhidmatan kepakaran dan tahap profesionalisme yang diberikan amat saya kagumi dan sanjung tinggi.

Kehilangan beliau amat meninggalkan kesan yang mendalam kepada keluarga kami kerana Allahyarham merupakan seorang yang sangat ceria dan penyayang. Walau bagaimanapun kami reda dengan ketentuan Ilahi. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.
Semoga tenang kakakku di sana, semoga kita akan berjumpa lagi. Al-fatihah.













Comments